MOHAMAD Zawawi
BINTANGOR: Penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Bahagian Sarikei telah mendapat sambutan hangat daripada pengguna dan pengusaha pasar raya.
Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, pihaknya menerima kerjasama yang baik dari pengguna dan pengusaha pasar raya untuk menjayakan PJKM.
“Setakat ini, tujuh PJKM diadakan di Parlimen Sarikei, Parlimen Julau dan juga Parlimen Tanjung Manis.
“Untuk hari ini (kelmarin) saja kita buat PJKM di tiga tempat serentak iaitu di G-Mart Supermarket Bintangor, G-Mart Supermarket di Jakar dan Perniagaan Seng Sdn Bhd di Sarikei yang telah bermula hari Jumaat sehingga Ahad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual para pemberita di Tebingan Sungai Bintangor, kelmarin.
Katanya, untuk makluman para pengguna, PJKM selanjutnya akan diadakan di kawasan Parlimen Tanjung Manis bertempat di Tah Seng Cold Storage di Taman Susur Jambu, Sarikei.
“Kepada para pengguna di sekitar Sarikei, rebutlah peluang untuk menikmati harga jualan Keluarga Malaysia di pasar raya seperti mana yang telah disebutkan tadi untuk mendapatkan harga yang lebih murah,” ujarnya.
Oleh EARL ANEK