
BETONG: Usaha dan kerja keras penduduk serta sokongan belia Kampung Tengah Betong melakukan gotong-royong membina pintu gerbang sejak awal Ramadan lalu, telah membuahkan hasil apabila diumum sebagai johan Pertandingan Pintu Gerbang Raya Kampung Melayu Betong, kelmarin.
Ketua Kampung Tengah Betong, Abang Abdul Manaf Abang Zaini berkata sebelum pertandingan bermula, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada penduduk kampung dan golongan belia, yang telah dibahagikan kerja masing-masing bagi menyiapkan pintu gerbang.

“Hasilnya kami telah dapat buktikan bahawa kesungguhan dan pengorbanan kami adalah berbaloi apabila diumum sebagai johan pada malam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman pemenang pertandingan pintu gerbang sempena majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong anjuran Lembaga Khaiirat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini malam tadi.

Jelas Abang Abdul Manaf, beliau amat gembira dengan kejayaan tersebut, sambil mendedahkan kejayaan menjuarai pertandingan pintu gerbang itu hasil kesepakatan penduduk dan belia yang sentiasa mengamalkan kerjasama dalam memberi cadangan dan idea yang bernas untuk membina sebuah pintu gerbang yang cantik dan menarik.
Berikutan kejayaan itu, pintu gerbang Kampung Tengah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,500, manakala pintu gerbang Kampung Baru Hulu Betong diumum sebagai naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.

Sementara itu, pintu gerbang Kampung Melayu Passa diumum berada ditempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.
Tiga pintu gerbang dari Kampung Baru Hilir Betong, Kampung Masjid Betong dan Kampung Hilir Betong masing-masingnya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500 sebagai penerima saguhati.
Kesemua hadiah pemenang disampaikan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Turut hadir, Pengerusi LKAMB, Ustaz Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masunie, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abu Nawas dan Penghulu Abang Suhailie Abang Pay.
Dalam pada itu, sebanyak enam kampung sekitar Kampung Melayu Betong telah menyertai pertandingan pintu gerbang dengan tema ‘Gerbang Menceria Rayau Kita’ pada tahun ini.
Oleh Adi Saparman