KUCHING: Pink Ribbon Support Group komited untuk menyediakan sistem sokongan kepada wanita yang sedang berjuang melawan penyakit kanser payudara dan serviks di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata oragnisasi itu turut memberi sokongan moral serta emosi kepada pejuang penyakit itu.
”Pink Ribbon Support Group menyediakan banyak aktiviti bagi memberi galakan dan maklumat terkini berkenaan penyakit kanser itu dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat membuat saringan kesihatan secara berkala.
”Selain itu, menerusi aktiviti yang dianjurkan, wanita yang sedang berjuang ini juga dapat membina hubungan yang erat sesama mereka dan juga bekas pesakit yang telah sembuh.
”Mereka sesungguhnya akan mendapat sokongan moral untuk terus berjuang dengan mendengar pengalaman daripada mereka yang telah sembuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program sarapan bersama Pink Ribbon Support Group sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara di salah sebuah hotel, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hasidah yang juga Penasihat Pink Ribbon Support Group juga menyarankan organisasi itu untuk terus bekerjasama secara aktif dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain serta agensi berkaitan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat di negeri ini khasnya golongan wanita.
”Seperti yang sebelum ini saya pernah menyarankan mereka (Pink Ribbon Support Group) untuk bekerjasama dengan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara untuk melaksanakan lebih banyak program kesedaran.
”Sesuatu organisasi itu semestinya tidak dapat bergerak secara solo kerana kerjasama yang erat dengan pelbagai pihak berkaitan merupakan tonggak penting dalam usaha berterusan kita untuk menyokong pesakit kanser,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Pink Ribbon Support Group, Suriani Rapaiee berkata organisasi berkenaan menyediakan sistem sokongan kepada pesakit kanser dan menjadi mesej penting bahawa mereka tidak bersendirian.
Jelasnya, perjuangan melawan penyakit itu sememangnya berliku-liku dan tidak mudah terutamanya ketika menjalani kemoterapi dan rawatan.
Justeru, organisasi itu menawarkan tempat untuk wanita agar mereka berhubung dengan orang lain berkongsi pengalaman mereka kerana mereka yang telah sembuh merupakan individu yang paling memahami pesakit.
Oleh RYNNA SHA’ERRA