Pemindaan Perlembagaan bagi mewujudkan satu lagi sayap baharu yang menumpukan kepada golongan belia berusia antara 18 hingga 28 tahun adalah sangat dialu-alukan.
Timbalan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fazzrudin Abdul Karim berkata, pemindaan Perlembagaan tersebut adalah tepat pada masanya.
“Saya memuji langkah ini yang akan menggalakkan pemerkasaan belia dalam PBB, saya berpendapat ia tepat pada masanya dan seiring dengan keadaan politik yang dinamik di negara ini.
“Pada masa hadapan, PBB perlu kekal relevan dan mesti menjadi parti untuk semua peringkat umur, sama ada yang tua dan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian berikutan pengumuman Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai Perlembagaan PBB akan dipinda, dan sayap khas ditubuhkan untuk mereka yang berumur 18 hingga 28 tahun.
Fazzrudin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, pemindaan tersebut akan menjadi petanda baik kepada persiapan negeri menghadapi Undi18 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi yang amat memerlukan penglibatan belia dalam pentadbiran.
“Saya berharap dengan penubuhan sayap baharu ini, kita dapat mempromosikan lebih banyak dialog dan dasar yang mementingkan belia serta pendekatan yang lebih baik untuk golongan belia di negeri ini.
“Selama ini, parti terlibat dengan golongan belia berumur 18 tahun ke atas dalam pelbagai sektor, seperti pendidikan dan kebajikan. Sekarang kita menekankan penglibatan mereka dalam politik.
“Dalam zaman moden ini, dengan kumpulan umur yang berbeza dalam kalangan belia itu sendiri, ia membawa pemikiran yang berbeza. Sayap baharu ini sedang meneliti perkara ini,” jelasnya.
Tambahnya, belia juga perlu memahami dan menyedari dasar-dasar Kerajaan Negeri dan apa-apa yang akan disediakan untuk mereka.
“Rancangan Kerajaan Negeri, sama ada dalam pembangunan infrastruktur, penggunaan teknologi serta ekonomi digital, adalah untuk golongan belia.
“Ini adalah untuk menyediakan negeri kita untuk masa hadapan yang akan dimainkan oleh golongan belia yang besar, sama ada sebagai pemimpin dalam kerajaan, tenaga kerja dan rakyat secara amnya,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri, melalui Ketua Menteri bersama Menteri Belia dan Sukan Negeri telah mendengar aspirasi golongan belia melalui sesi townhall dan pelbagai aktiviti penglibatan yang lain.
“Ini telah diterjemahkan kepada beberapa dasar yang memberi manfaat kepada belia, termasuk diskaun bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta diskaun tiket penerbangan untuk pelajar universiti,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pindaan Perlembagaan bagi penubuhan sayap baharu itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) PBB pada Jun tahun ini.
Menurutnya, satu jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman telah ditubuhkan untuk meneliti kewujudan sayap baharu tersebut.
Oleh JEAKQLEYN YACHO