KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024 yang bertujuan memperkukuh tadbir urus badan pemegang amanah di Malaysia mendapat sokongan Dewan Negara, semalam.
Senator Dato Ahmad Ibrahim dalam ucapan perbahasannya menyatakan bahawa pindaan ini adalah langkah penting untuk memastikan Akta 258 terus relevan dengan keperluan semasa, khususnya dalam aspek ketelusan, akauntabiliti, dan pengurusan badan pemegang amanah.
“RUU ini memperkenalkan pindaan serta seksyen baharu yang akan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pemegang amanah. Namun, pelaksanaan setiap pindaan perlu dirancang rapi bagi mengelakkan kesan negatif,” katanya.
Ketika ucapan perbahasan RUU Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, semalam.
Ahmad menekankan keperluan garis panduan jelas bagi Seksyen 2A yang memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk meluluskan nama badan pemegang amanah.
“Kuasa ini penting bagi mengelakkan kekeliruan, tetapi ia memerlukan garis panduan bertulis untuk memastikan keputusan dibuat secara adil dan telus. Pemohon juga harus diberikan peluang rayuan jika permohonan mereka ditolak,” tegas beliau.
Beliau turut memuji langkah mewajibkan pendaftaran pemunyaan benefisial sebagai langkah ke arah ketelusan, namun menegaskan cabaran praktikal yang mungkin dihadapi oleh badan pemegang amanah kecil di kawasan luar bandar.
“Kementerian boleh menyediakan platform digital pusat bagi memudahkan pendaftaran serta akses oleh pihak berkuasa. Ini bukan sahaja mengurangkan kos pematuhan tetapi juga melindungi privasi individu yang terlibat,” ujarnya.
Ahmad turut menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Seksyen 6 dan Seksyen 15 yang memperluaskan kuasa Menteri untuk memeriksa serta menggantung pemegang amanah.
“Langkah ini memerlukan penglibatan panel bebas untuk memastikan keputusan dibuat berdasarkan fakta dan tidak berat sebelah. Pendedahan maklumat kepada umum juga perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi melindungi reputasi badan pemegang amanah,” katanya.
Menurut beliau, notis awal perlu diberikan kepada badan pemegang amanah sebelum sebarang maklumat didedahkan, selain maklumat tersebut harus disemak oleh panel bebas untuk memastikan ia benar-benar relevan dan bermanfaat kepada masyarakat.
Bagi pindaan yang melibatkan pengkompaunan kesalahan, Ahmad menyifatkan ia sebagai langkah progresif tetapi menekankan bahawa kadar kompaun perlu mengambil kira kemampuan kewangan badan pemegang amanah, khususnya yang berskala kecil.
“Skala pengkompaunan harus berpatutan dengan mengenakan amaun minimum bagi kesalahan pertama yang tidak melibatkan penyalahgunaan dana,” tambahnya.
Ahmad mengakhiri perbahasannya dengan menasihati Kementerian agar mempertimbangkan sokongan kewangan kepada badan pemegang amanah kecil serta mengutamakan pendekatan yang telus dan inklusif dalam pelaksanaan pindaan ini.
“Dengan pindaan ini, ketelusan, akauntabiliti, dan keberkesanan badan pemegang amanah di negara kita pasti dapat ditingkatkan,” katanya sebelum menyatakan sokongannya terhadap pindaan RUU tersebut.