JENERAL Min Aung Hlaing
KUALA LUMPUR: Ketua junta Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing berjanji untuk mengadakan pilihan raya baharu pada Ogos 2023, selepas mewujudkan suasana yang sesuai bagi pilihan raya bebas dan adil melibatkan berbilang parti di negaranya itu.
Janji pemimpin tentera itu diragui rakyat Myanmar, selain Amerika Syarikat yang mendesak pihak tentera yang memerintah mengadakan pilihan raya secepat mungkin jika ia benar-benar ikhlas dengan janjinya itu.
Semasa ramai pemerhati berpendapat pilihan raya bukan jalan penyelesaian kepada kemelut di Myanmar sejak junta menggulingkan kerajaan demokrasi pilihan rakyat pada 1 Feb, 2021, geostrategis Prof Dr Azmi Hassan pula berpendapat ia tetap perlu diadakan bagi menyelesaikan krisis di negara itu.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu melihat pilihan raya baharu sebagai titik permulaan mengembalikan semula demokrasi di Myanmar selepas lebih setahun rampasan kuasa tentera.
“Yang paling penting buat pilihan raya dahulu walaupun Junta nak kawal, walaupun ia akan dilihat sebagai berat sebelah. Bagi saya penyelesaiannya akan bermula bila adanya pilihan raya.
“Junta tentera sudah pasti tidak akan menyerahkan kuasa kepada pihak lain, terutama sekali NUG (Kerajaan Perpaduan Nasional), jadi jalan terbaik adalah pilihan raya. Bagaimanapun, setakat ini saya tidak nampak lagi bayang-bayang junta akan mengadakan pilihan raya,” katanya kepada Bernama.
Mengenai gesaan supaya ASEAN memberi tekanan yang lebih keras terhadap Myanmar, Azmi berkata blok itu telah beberapa kali berbuat demikian ketika dipengerusikan oleh Brunei, namun tidak mendatangkan kesan yang diharapkan ke arah pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
Antaranya tindakaan tidak menjemput wakil Junta ke beberapa mesyuarat utama ASEAN termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober tahun lepas yang buat pertama kalinya menyaksikan tiada perwakilan dari Myanmar.
“Jadi adakah tekanan lebih hebat akan berlaku? Saya rasa buat masa ini tidak. ASEAN bergerak secara konsensus, maksudnya 10 negara kena bersetuju, jadi kalau ada antara negara anggota yang ‘sendeng ke sana (Junta)’ memang payah untuk mengambil tindakan yang lebih keras,” katanya.
Bagaimanapun, Azmi berkata cadangan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah supaya pelbagai cara digabungan ke arah menyelesaikan krisis di Myanmar termasuk berunding dengan rakan dialog ASEAN yang mahu didengari oleh Junta, mungkin boleh membawa kesan yang diharapkan.
Namun, ia juga bergantung kepada kesediaan pihak berkenaan untuk berunding dengan Junta.
“Mereka (Junta) hanya mahu dengar negara yang rapat atau sokong mereka. Kalau tanya saya kuasa besar mana yang boleh paksa Junta, China yang paling dekat,” katanya sambil menambah beliau tidak melihat China akan campur tangan dalam krisis di Myanmar.
Sejak rampasan kuasa tentera pada Feb 2021 di Myanmar, lebih 2,000 orang awam telah terbunuh, lebih 14,000 ditahan manakala lebih satu juta hilang tempat tinggal atau melarikan diri.
Krisis itu juga menjerumuskan Myanmar ke kancah krisis ekonomi dan kemanusiaan yang mengancam nyawa dan kesejahteraan berjuta-juta penduduk.
-Bernama