
SIDANG Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia.
Kini sudah masuk tahun baharu 2026 – tahun yang dijangka diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), namun belum ada kenyataan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengenai usaha persempadanan semula kawasan pilihan raya itu.
Ini kerana kata sumber yang boleh dipercayai, 17 kerusi DUN baharu itu disasar untuk digunakan pada PRN ke-13 akan datang, mungkin hujung tahun ini?
Memang ini tugas SPR bukan tugas kerajaan Sarawak untuk menentukan persempadanan semula tetapi tidak salah bagi DUN Sarawak membuat cadangan, yang mungkin memudahkan lagi tugas SPR sebagai ‘garis panduan’.

Proses melengkapkan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR ini mungkin memakan masa jika mengikut prosedur operasi standard (SOP).
SOP & PROSES
Berikut ialah urutan langkah asas proses persempadanan semula yang SPR perlu patuhi:
- Penentuan keperluan semakan. SPR menilai bila semakan sempadan perlu dibuat (biasanya selepas tempoh tertentu atau perubahan signifikan berlaku).
- Notis awal dan pewartaan. SPR mengeluarkan notis menerusi Gazette dan media untuk memberitahu kawasan dan cadangan awal sempadan yang baru.
- Pengumuman cadangan dan dokumen. SPR menyediakan cadangan pelan sempadan (swasta tempat-tempat tertentu) untuk umum lihat.
- Tempoh representasi/bantahan. Orang ramai, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau sekurang-kurangnya 100 orang pengundi boleh membuat representasi (bantahan/pendapat) dalam tempoh yang ditetapkan (biasanya 1 bulan dari notis).
- Pendengaran awam (Public inquiry). Jika terdapat bantahan, SPR wajib menimbang semua representasi. Mereka juga boleh mengadakan sesi pendengaran awam (dengan memberi peluang untuk memberi bukti lisan/bertulis) sebelum membuat keputusan akhir mengenai cadangan.
- Semakan kandungan cadangan. Jika SPR membuat perubahan berdasarkan pendapat awam, notis baharu perlu digazet semula untuk representasi kedua.
SPR BOLEH PERCEPATKAN URUSAN
Ringkasnya, proses penuh dari notis awal, representasi, pendengaran awam hingga laporan akhir biasanya mengambil sekitar 1.5-2+ tahun, bergantung kepada jumlah bantahan dan kerja teknikal diperlukan.
Itu SOP biasa dan mungkin SPR boleh mempercepatkan usaha itu.
Bagaimanapun, pertambahan 17 kerusi baharu DUN Sarawak tidak memerlukan kelulusan Parlimen, selagi ia dibuat mengikut prosedur perlembagaan negeri dan mendapat kelulusan DUN Sarawak sendiri.

Tetapi seorang pemimpin kanan kerajaan Sarawak ketika dihubungi penulis memberitahu bahawa SPR kini memang dalam proses melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri ini.
Ketika ditanya sama ada benar pilihan raya negeri diadakan setelah SPR mengesahkan tambahan 17 kerusi DUN baharu, beliau berkata ‘tidak pasti, hanya Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) sahaja yang tahu’.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika menggulung perbahasan RUU Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 Julai lalu antara lain menyatakan komposisi baharu sebanyak 99 kerusi DUN itu dijangka dilaksanakan dalam pilihan raya negeri akan datang.
Ini bermakna, kerajaan negeri mahu mengguna pakai 17 kerusi DUN baharu itu untuk ditandingi pada PRN akan datang. Jika tidak, kena tunggu lima tahun lagi.
Oleh itu, SPR perlu bertindak cepat, jika benar kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kemungkinan mahu pilihan raya negeri diadakan dalam tahun ini, mungkin akhir 2026 atau awal tahun 2027.
Kali terakhir PRN Sarawak diadakan ialah pada 18 Disember 2021. Pada 18 Disember 2026, genap lima tahun tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan GPS sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.
Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027. Tetapi di bawah Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, memperuntukkan lanjutan selama 60 hari mesti diadakan pilihan raya daripada tarikh tamat tempoh DUN.
TEMPOH MATANG DUN
Bab ini diguna pakai pada PRN12 Disember 2021, setelah tempoh DUN berakhir pada 6 Jun 2021, berikutan penularan COVID-19. Namun dalam perlembagaan itu, sama ada COVID-19 atau tidak, itulah termaktub dalam peraturan.
Ini bermakna, PRN Sarawak akan datang boleh dipanjangkan sehingga Ogos 2027. Hakikatnya perkara ini jarang berlaku kecuali pada 2021. Malah jarang juga pilihan raya diadakan menghampiri tempoh tamat dan kebiasaannya diadakan beberapa bulan lebih awal.
Andai menunggu tempoh matang sehingga 2027, SPR masih ada masa untuk melengkapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya terutama bagi mewujudkan tambahan 17 kerusi DUN baharu.
Namun penentuan tempoh PRN perlu langkah strategik. Pada tahun ini dan tahun depan, banyak perubahan bakal berlaku untuk kebaikan rakyat.
AirBorneo sudah mulai meluncur di udara, hampir semua jambatan utama siap, jalan pesisir sedang dibina dan pelbagai lagi projek infrastruktur.
Pendidikan percuma untuk anak Sarawak melanjut pelajaran ke universiti milik kerajaan negeri juga bermula tahun ini.
Masa yang sesuai untuk pilihan raya juga ialah ketika rakyat mula merasai nikmati pembangunan itu.
Yang lebih penting ‘mood’ rakyat bawahan perlu diambil kira termasuk kos sara hidup, gaji, inflasi dan kestabilan ekonomi yang akan terus mendominasi keutamaan rakyat.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak