Screenshot
KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini membayangkan pilihan raya negeri (PRN) tidak mungkin diadakan dalam tahun ini.
Sebaliknya, Premier Sarawak bagaikan memberi bayangan PRN masih lama lagi untuk diadakan.
Berikut soal-jawab ringkas antara wartawan dengan Abang Johari ketika ditemui selepas merasmikan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS), di Batu 12 Jalan Kuching-Serian, hari ini.
Wartawan: Kenyataan Setiausaha Agung GPS (Gabungan Parti Sarawak) Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyatakan bahawa jangkaan PRN Sarawak diadakan tahun ini.
Abang Johari: Mun dah abis terpaksa PRN. (Kalau sudah habis (tempoh DUN) terpaksa (diadakan) PRN.
Wartawan: Jangkaan tahun tok?
Abang Johari: Nelah tauk, hitung jak ktk. (Manalah tahu, kira (tempoh sebenar) sahaja anda (wartawan).
Wartawan: Akan diumumkan kelak?
Abang Johari: Eh, gik lamak gik (Eh, lama lagi).
Kali terakhir PRN Sarawak diadakan ialah pada 18 Disember 2021.
Pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan GPS sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.
Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027.
Tetapi di bawah Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, memperuntukkan lanjutan selama 60 hari mesti diadakan pilihan raya daripada tarikh tamat tempoh DUN.
Ini bermakna, PRN Sarawak akan datang boleh dipanjangkan sehingga Ogos 2027.
Difahamkan, Sarawak masih menunggu kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melengkapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya terutama bagi mewujudkan tambahan 17 kerusi DUN baharu.
Ini kerana GPS dikatakan mahu 17 kerusi DUN baharu itu diguna pakai pada PRN akan datang.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia.