KUALA LUMPUR: Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 yang bertujuan membantu mempercepat vaksinasi khususnya golongan pekerja dilancarkan, semalam.
PIKAS yang diumumkan pada 12 Jun 2021 dilancarkan di Selangor dengan disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam, selain Selangor, vaksinasi untuk sektor pembuatan itu juga akan dimulakan di Pulau Pinang dan Johor secara serentak yang akan memberi tumpuan kepada subsektor pembuatan kritikal.
Subsektor ini penting semasa Perintah Kawalan Pergerakan, memandangkan mereka adalah sebahagian rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti sistem penjagaan kesihatan awam, jelas kementerian itu.
“Program PIKAS dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan daripada persatuan industri, dewan perniagaan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membantu mempercepat vaksinasi bagi rakyat khususnya pekerja, untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.
“Ini amat penting dalam melindungi pekerja daripada risiko jangkitan Covid-19 kerana keselamatan mereka dapat memastikan ekonomi kembali rancak dan terus berdaya tahan,” jelas MITI.
Pada sidang video dengan wakil kesatuan sekerja yang diadakan pada Selasa, Mohamed Azmin memberi jaminan bahawa pekerja yang menyertai program itu tidak akan dibebani dengan kos tambahan.
Beliau turut menekankan, dua dos vaksin akan diberi secara percuma dan majikan perlu menanggung kos pentadbiran proses vaksinasi dan tidak dibenarkan untuk memotong gaji pekerja bagi membiayai kos yang terlibat, menurut MITI.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kesatuan sekerja lain telah menyatakan sokongan mereka terhadap program PIKAS dan menyambut baik pelaksanaannya untuk memastikan keselamatan pekerja, jelas MITI.
Bagaimanapun, mereka telah menyuarakan keprihatinan terhadap pelaksanaan PIKAS oleh peserta industri, terutama berkaitan kos yang terlibat dalam proses vaksinasi tersebut.
Mohamed Azmin juga memaklumkan kerajaan akan meningkatkan kadar vaksinasi pada Jun, Julai dan Ogos dengan menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai berdasarkan strategi peralihan keluar yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan pada Selasa.- Bernama