Pijak bendera Sarawak, laporan polis dibuat minta siasatan segera

Facebook
WhatsApp
LAPORAN itu dibuat Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai, bersama dua lagi Setiausaha Politik, Rosaline Neging dan Damien Rejek, di IPD Kota Samarahan pada 12.00 tengah hari tadi. Foto: Roseline Mapong Sabai

KOTA SAMARAHAN: Penularan sebuah video di media sosial yang memaparkan tindakan seorang individu memijak bendera Sarawak mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat negeri ini sehingga beberapa laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Laporan itu dibuat Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai, bersama dua lagi Setiausaha Politik, Rosaline Neging dan Damien Rejek, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan pada 12.00 tengah hari tadi.

Menurut Roseline, beliau menyedari kewujudan video berkenaan selepas melihat perkongsian mengenai isu tersebut di media sosial sebelum membuat semakan menerusi beberapa platform termasuk TikTok dan Threads.

Hasil semakan mendapati video terbabit dikongsikan menerusi akaun TikTok bernama Omarlittle (Omarlittleblud) sebelum tersebar secara meluas dalam kalangan pengguna media sosial.

Roseline berkata, tindakan memijak bendera Sarawak seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan amat tidak wajar kerana bendera negeri itu merupakan simbol rasmi yang membawa makna besar kepada identiti, maruah dan kebanggaan rakyat Sarawak.

“Bendera Sarawak bukan sekadar sehelai kain, tetapi merupakan lambang identiti dan penghormatan kepada negeri ini. Sebarang tindakan yang menghina simbol rasmi Sarawak boleh menimbulkan rasa tersinggung serta kemarahan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan, namun kebebasan berkenaan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak melampaui batas sehingga menjejaskan sensitiviti masyarakat atau menghina simbol rasmi negeri.

Sehubungan itu, katanya, laporan polis dibuat bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera termasuk mengenal pasti individu yang terlibat, pemilik akaun media sosial serta pihak yang bertanggungjawab memuat naik dan menyebarkan kandungan berkenaan.

“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara profesional. Kita tidak mahu membuat sebarang tuduhan atau menghukum mana-mana pihak tanpa proses siasatan yang sewajarnya,” katanya.

Roseline turut berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil perhatian terhadap kandungan berkenaan dan melaksanakan tindakan yang bersesuaian mengikut peruntukan undang-undang serta garis panduan berkaitan.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan semula video berkenaan secara berlebihan kerana tindakan itu hanya boleh menyebabkan kandungan tersebut terus tular dan berpotensi menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

“Kita mahu Sarawak terus kekal sebagai sebuah negeri yang aman, harmoni dan saling menghormati. Perbezaan pandangan atau pendapat tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghina simbol yang menjadi identiti Sarawak, Ibu Pertiwiku,” ujarnya.

Beliau menegaskan rakyat Sarawak bebas mempunyai pandangan berbeza dalam pelbagai perkara, namun penghormatan terhadap Sarawak, simbol rasminya serta keharmonian masyarakat perlu sentiasa dipelihara.

Oleh Adi Safarman