LAWAS: Gangguan bekalan air yang kerap berlaku dengan tekanan air rendah mengecewakan umat Islam di Lawas dalam persiapan menjelang Ramadan.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bakelalan, Steve Lius berkata, masalah ini perlu ditangani segera demi keselesaan dan keperluan utama penduduk yang sering terjejas.
“Saya menerima aduan daripada saudara dan sahabat beragama Islam mengenai masalah gangguan bekalan air ini.
“Masalah bekalan air ini bukan sahaja menjejaskan saudara-saudara kita yang beragama Islam, malah semua penduduk di Lawas ini.
“Kita juga mohon agar masyarakat di kawasan tapak pembinaan loji rawatan air Trusan Kedua yang sedang dalam pelaksanaan dapat memberi kerjasama agar tidak menganggu sebarang kerja di kawasan berkenaan,” katanya.
Steve Lius menjelaskan Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong amat mengambil berat perkara ini dan lain-lain isu membabitkan keperluan rakyat di Lawas.
Oleh itu beliau berharap agar pihak yang diberi tanggungjawab dapat melaksanakan kerja yang di amanah kepada mereka sebaik mungkin.
Oleh ADENG EDRUS