
OVIEDO, Sepanyol: Mahkamah Nasional Sepanyol memutuskan memihak kepada penyanyi Colombia, Shakira, dalam pertikaian cukai berpanjangan dengan mengarahkan pihak berkuasa cukai Sepanyol memulangkan lebih €60 juta (AS$67 juta) melibatkan bayaran, penalti dan faedah berkaitan tahun cukai 2011.
Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa mahkamah memutuskan Shakira bukan pemastautin cukai di Sepanyol pada 2011 kerana pihak berkuasa gagal membuktikan beliau sepatutnya dianggap sebagai pemastautin fiskal negara itu pada tahun berkenaan, menurut keputusan yang diterbitkan hari ini.
Keputusan itu membatalkan taksiran cukai dan penalti yang dikenakan oleh agensi cukai Sepanyol berhubung dakwaan kegagalan membayar cukai pendapatan dan cukai kekayaan bagi tahun 2011.
Dalam kenyataan yang dihantar kepada media Sepanyol selepas keputusan itu, penyanyi itu mengkritik pihak berkuasa cukai Sepanyol dan mendakwa dirinya menjadi sasaran kempen berpanjangan selama bertahun-tahun.
“Selepas lebih lapan tahun berdepan penelitian awam yang kejam, kempen terancang untuk memusnahkan reputasi saya serta malam-malam tanpa tidur yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan keluarga saya, Mahkamah Nasional akhirnya menegakkan kebenaran,” katanya.
“Tidak pernah berlaku sebarang penipuan, dan pihak pentadbiran sendiri tidak pernah mampu membuktikan sebaliknya kerana ia sememangnya tidak benar,” kata beliau.
Pemeriksa cukai Sepanyol sebelum ini berhujah yang penyanyi itu menjadikan Sepanyol sebagai pusat kehidupan peribadi dan ekonominya semasa menjalin hubungan dengan bekas pemain bola sepak Barcelona, Gerard Pique.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk menunjukkan bahawa Sepanyol merupakan tempat kediaman utama atau pusat aktiviti ekonomi beliau pada 2011, ketika beliau sedang mengadakan jelajah dunia melibatkan 120 konsert di 37 negara.
Mahkamah turut memutuskan yang pada tahun itu, beliau tidak mempunyai anak di Sepanyol, tidak memiliki rumah di negara itu dan tidak berada cukup lama di Sepanyol untuk layak dianggap sebagai pemastautin cukai.
Keputusan itu masih boleh dirayu di Mahkamah Agung Sepanyol.
Ia juga tidak menjejaskan kes jenayah berasingan apabila Shakira mencapai penyelesaian dengan pihak pendakwa raya pada 2023 berhubung cukai tidak dibayar bagi tempoh 2012 hingga 2014.
Pihak berkuasa cukai Sepanyol dalam beberapa tahun kebelakangan ini turut mengambil tindakan terhadap beberapa tokoh terkenal termasuk pemain bola sepak Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, serta jurulatih Jose Mourinho, yang disabitkan kesalahan atau mencapai penyelesaian dalam kes berkaitan hak imej dan status pemastautin cukai.
Bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Xabi Alonso, pula melawan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan dibebaskan daripada tuduhan penipuan cukai oleh Mahkamah Agung Sepanyol. – Bernama