
MAKKAH: Pelbagai perkhidmatan di Masjidil Haram direka bentuk bagi memudahkan pergerakan jemaah umrah serta membolehkan mereka menunaikan ibadah dalam suasana yang selamat dan teratur.
Perkhidmatan itu merangkumi akses keluar masuk yang dipermudah melalui pintu-pintu tertentu, laluan panduan yang jelas di dalam Masjidil Haram serta skrin digital yang memaparkan tahap kepadatan jemaah di setiap tingkat.
Ia turut meliputi kemudahan khusus untuk golongan kurang upaya seperti pintu khas, tanjakan dan kerusi roda, selain eskalator dan lif yang membantu melancarkan pergerakan ketika menunaikan ibadah.
Kementerian Haji dan Umrah serta Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Urusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi juga menerbitkan sebuah video yang memaparkan rakaman langsung menggambarkan skala kerja harian di Masjidil Haram.
Video itu menampilkan keluasan lebih 1.8 juta meter persegi serta keupayaannya menampung lebih 2.5 juta jemaah.
Ia turut menekankan tahap kesiapsiagaan tinggi yang diperlukan bagi memastikan pergerakan jemaah yang teratur di seluruh kawasan dan dataran masjid.- Bernama-SPA