Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Pickleball jadi pilihan ikon sukan negara kembali di gelanggang
  • SUKAN

Pickleball jadi pilihan ikon sukan negara kembali di gelanggang

Utusan Sarawak 12 hours ago
CHAN Peng Soon dan legenda hoki kebangsaan Datuk Mirnawan Nawawi, kini aktif dalam sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR: Dua ikon sukan negara yang pernah mengukir nama di pentas Olimpik kini kembali beraksi, bukan dalam gelanggang asal mereka tetapi memilih sukan baharu yang tidak kurang mencabarnya iaitu pickleball.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 menerusi acara beregu campuran Chan Peng Soon dan legenda hoki kebangsaan Datuk Mirnawan Nawawi, kini aktif dalam sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pickleball yang menggabungkan elemen badminton, tenis dan ping pong, dilihat sebagai alternatif ideal buat atlet veteran yang masih mempunyai semangat juang tinggi.

Setelah mengumumkan persaraan daripada badminton kompetitif tahun lepas, Peng Soon mengakui minat terhadap sukan raket tetap membara dalam dirinya.

Menurut Peng Soon, sejak bermain pickleball atas galakan rakan-rakan pada Jun lepas, beliau kini menjadikan sukan itu sebagai hobi baharu.

Bagi mencabar kemampuannya, Peng Soon tidak melepaskan peluang menyertai beberapa pertandingan pickleball yang dianjurkan sebelum ini.

Menyedari potensi sukan pickleball yang mampu berkembang pesat pada masa depan, beliau yang memiliki akademi badminton membuat keputusan membuka pusat pickleball di Subang Jaya, tahun lepas.

“Saya lihat sukan pickleball mula jadi trend, sebab itu saya ambil peluang yang sangat bagus untuk buka pusat sukan pickleball,” katanya sambil memaklumkan kemudahan dimilikinya menawarkan 18 gelanggang, dengan sewa bermula RM50 sejam.

“Saya lihat potensi sukan ini sangat besar. Justeru, saya mengambil peluang untuk membuka kemudahan ini demi menyokong perkembangan pickleball dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Mirnawan berkata beliau mula mengenali pickleball menerusi isterinya, Datin Noorah Mokhsin yang aktif bermain bersama rakan-rakan.

Sejak mula bermain pada Mei tahun lepas, beliau terus aktif bermain empat hingga lima kali seminggu.

“Pickleball memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan. Lebih menarik, sukan ini juga berfungsi sebagai platform yang menyatupadukan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya bergandingan dengan Ketua Pasukan Bola Sepak Wanita Negara Steffi Sarge Kaur dalam satu kejohanan tempatan, menggambarkan keterbukaan dan kemesraan komuniti pickleball.

Bekas kapten skuad hoki yang pernah mewakili Malaysia dalam tiga edisi Sukan Olimpik (1992–2000) ini juga tidak asing dalam kejohanan pickleball, malah pernah muncul juara bersama pasukannya dalam beberapa kejohanan tempatan.

“Perasaan menyertai pertandingan ini mengimbau kembali detik-detik ketika mewakili negara dahulu – rasa gugup, tekanan, tetapi sangat mengujakan,” katanya.

Ikon sukan negara berusia 53 tahun itu turut menyatakan hasrat untuk membuka sebuah pusat pickleball di Selangor dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap kemudahan sukan tersebut. — Bernama

Continue Reading

Previous: 36 peserta sertai Pertandingan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Miri
Next: Li Jane akur naib juara USBC Queens

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.