KUCHING: Sebanyak 59.7 peratus daripada 40,000 responden kalangan ibu bapa di negeri ini sangat bersetuju dengan Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata hasil tinjauan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dari 26 hingga 31 Januari lepas juga mendapati 25.3 peratus tidak pasti.
“Hanya 15 peratus daripada 40,000 ibu bapa tidak bersetuju terhadap program vaksinasi Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PICKids peringkat Sarawak di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini semalam.
Menurutnya, seramai 272,500 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun layak untuk menyertai program PICKids itu, namun hanya 12 peratus sahaja yang mendaftar menerusi MySejahtera setakat ini.
Manakala, faktor utama menyebabkan responden tidak bersetuju dan tidak pasti ialah kerisauan terhadap komplikasi kanak-kanak selepas menerima vaksin.
“Selain itu, para ibu bapa turut meragui tahap keselamatan vaksin terhadap kanak-kanak pada usia berkenaan.
“Seramai 30 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di Kuching menjadi kumpulan pertama menerima vaksin jenis Pfizer BioNTech menerusi program PICKids di Sarawak,” jelas beliau.
Uggah memberitahu, vaksin ini penting untuk kanak-kanak pada usia itu kerana mereka juga sentiasa berada di khalayak ramai dan pastinya sering berjumpa golongan berisiko seperti yang mempunyai komorbid dan juga warga emas.
“Sehingga semalam, seramai 2.1 juta sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 di Sarawak dan ia meliputi 75.8 peratus keseluruhan populasi negeri ini.
“Daripada jumlah itu, 1.9 juta adalah penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas manakala 259,432 lagi adalah remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 83.3 peratus dalam kalangan yang layak pula sudah menerima dos penggalak.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Penasihat JPBN Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Oleh AZREEN KERIA