SRI AMAN: Sarawak akan mempertingkatkan lagi jumlah tenaga kerja bagi mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan menyasarkan sebanyak 60,000 dos setiap hari.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lebih banyak doktor dan jururawat serta kakitangan bukan perubatan akan diambil untuk meningkatkan perkhidmatan dan mempercepatkan program pemvaksinasi di negeri ini.
Tambah beliau, sebuah jawatankuasa dibentuk untuk melihat jumlah keperluan pengambilan tenaga kerja yang diperlukan di semua bahagian.
“Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Sabariah Putit akan mengurus hal ini.
“Kami memerlukan tenaga kerja tambahan ini untuk meningkatkan keupayaan vaksinasi kami secara keseluruhan kerana kami berharap dapat menyelesaikan program imunisasi menjelang Ogos ini,” kata Uggah pada sidang media selepas mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kerajaan akan mendapatkan sumber tenaga kerja daripada fakulti perubatan Universiti Sarawak Malaysia (UNIMAS) dan Kolej Segi Sarawak serta dari rumah jagaan.
“Dengan penambahan tenaga kerja yang diperlukan dan diperhebatkan ini, Sarawak akan dapat memberikan sekitar 60,000 dos vaksin setiap hari,” ujarnya.
Sementara itu, Uggah yang juga mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak mendapat persetujuan daripada Kerajaan Persekutuan mengenai pendekatan hibrid kerana negeri ini mahu mempercepatkan proses vaksinasi terutama di kawasan luar bandar.
“Sekiranya nama mereka tidak ada dalam senarai pendaftaran tetapi mereka sudah datang untuk vaksin, mereka boleh divaksin selepas itu barulah pendaftaran dibuat.
“Kita mahu semua rakyat mendapat vaksin, selain itu memudahkan mereka yang datang dari jauh untuk tidak berulang-alik secara tidak langsung memudahkan urusan mereka.
“Ia sekali gus akan memastikan proses vaksinasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan khususnya di luar bandar,” katanya.
Uggah berkata, selain pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera atau secara manual, negeri ini harus proaktif untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada menerima vaksin.
“Oleh itu, saya meminta semua wakil rakyat untuk membantu dalam usaha mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Ogos depan,” tegasnya.
Turut hadir, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, Residen Bahagian Sri Aman, Indit Bingai dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr. Euphrasia Bari.
Oleh ADI SAFARMAN