
PARIS: Pierpaolo Piccioli tampil buat kali pertama sebagai Ketua Kreatif Balenciaga dalam Minggu Fesyen Paris, memperkenalkan koleksi Musim Bunga/Panas 2026 dengan pendekatan lebih klasik dan elegan berbeza dengan gaya flamboyan era Demna.
Piccioli, 58, yang terkenal melalui kerja 25 tahunnya di Valentino, menekankan bahawa ‘setiap hati berdegup berbeza’, menyimbolkan pendekatan lebih peribadi dan manusiawi terhadap rekaan.
Antara tetamu VIP di barisan hadapan ialah Meghan Markle, Duchess of Sussex, yang tampil anggun dalam sut Balenciaga berwarna gading (putih kekuningan), serta Lauren Bezos dan Anne Hathaway. Jurucakap Meghan berkata beliau mengagumi sentuhan elegan dan moden Piccioli.

Menariknya, jemputan pertunjukan diberi pemain kaset retro dengan rakaman degupan jantung simbolik kepada tema koleksi. Piccioli berkata dia menghormati pereka terdahulu, namun mahu meninggalkan tanda dengan ‘sensibiliti sendiri’.
Demna, bekas Ketua Kreatif, dikenali dengan gaya provokatif seperti beg $2,000 ala IKEA dan kempen kontroversi pada 2023. Kini, beliau beralih ke Gucci.
Selain Balenciaga, pereka lain turut mencuri tumpuan iaitu Hermès oleh Nadege Vanhee-Cybulski tampil dengan gaya berkuda berunsur bohemia yang santai, bebas dan natural.
Vivienne Westwood oleh Andreas Kronthaler tampilkan koleksi berinspirasikan langsir lama dan busana gaya baroque, ditutup oleh supermodel Heidi Klum.

Elie Saab pula mempersembahkan koleksi rona pasir dan corak berani di Palais de Tokyo.
Minggu Fesyen Paris kali ini juga menyaksikan pelantikan baharu di beberapa jenama besar, termasuk kemunculan pertama Duran Lantink di Jean Paul Gaultier dan koleksi sulung Matthieu Blazy di Chanel yang dijangka esok.
-AFP