
LIMBANG: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Pusat menyampaikan sumbangan kebajikan kepada salah seorang ahlinya yang mengalami kecederaan selepas terjatuh akibat tersadung pada besi tertanam di tanah, hari ini.
Mangsa mengalami patah bahu kanan dalam insiden yang berlaku pada Selasa lalu, dan kini sedang menjalani rawatan serta diberikan cuti sakit selama 17 hari.
Sumbangan wang tunai telah disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG SK Melayu Pusat, Rahman Sait kepada Timbalan Yang Dipertua, Rujinah Jayah @ Ros Ina, mewakili mangsa.
Menurut Rahman, pemberian sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan PIBG dalam usaha membantu meringankan beban ahli yang ditimpa musibah.
“Kita berharap sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada ahli yang sedang menghadapi ujian kesihatan. PIBG akan terus melaksanakan program kebajikan seumpama ini selain menyokong segala inisiatif sekolah dalam usaha meningkatkan prestasi SK Melayu Pusat,” katanya ketika ditemui media.
Difahamkan, kecederaan yang dialami menyebabkan mangsa tidak dapat bekerja sebagai pembantu kedai, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan hariannya.
Oleh Adeng Edrus