
BETONG: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting dalam usaha membantu meningkatkan pencapaian akademik anak-anak di sekolah.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, PIBG adalah organisasi penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah.
Katanya, fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif dan berwibawa.
“PIBG yang ditubuhkan di semua sekolah kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan. Oleh itu, setiap ahli PIBG harus memberi komitmen padu kepada pihak sekolah secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merasmikan Majlis Merarau Mantar Gawai Dayak 2025 di Dewan Sadok Sekolah Kebangsaan (SK) Saint John Nanga Tiga, Ulu Layar semalam.
Dr Richard berkata permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat.
Menurutnya lagi, sumbangan moral juga adalah penting bagi mendorong pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.
“Antara sokongan moral yang boleh diberikan oleh ibu bapa ialah dengan menghadiri Mesyuarat Agung serta memberi pendapat, sentiasa mengambil tahu mengenai anak mereka di sekolah dan memberi sumbangan tenaga melalui permuafakatan daripada aktiviti sekolah seperti kem motivasi dan sebagainya,” kataya.
Dalam majlis tersebut, Dr Richard turut mengumumkan peruntukan RM8,000 kepada PIBG SK St John Nanga Tiga untuk menjalankan aktiviti sepanjang tahun ini.
Oleh Adi Safarman