
SIMANGGANG: Sebanyak 24 pasukan dijangka menyertai Kejohanan Sepak Takraw bagi merebut Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA) yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini di Gelanggang Sentosa Indah RPR Sri Aman.
Pertandingan anjuran PESTASA dengan kerjasama Simanggang Gators itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan pingat kepada juara.
Naib johan bakal membawa pulang RM700 bersama piala dan pingat, manakala tempat ketiga menerima RM500 beserta piala dan pingat.
Menurut penganjur, pendaftaran dibuka kepada pemain berumur 15 tahun ke atas yang menetap di Bahagian Sri Aman, dan pemain import dari luar kawasan tidak dibenarkan bagi memastikan pertandingan menampilkan bakat tempatan sepenuhnya.
Setiap regu perlu mendaftar seramai lima pemain, dengan yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM100 bagi setiap pasukan.
Penganjur turut memaklumkan bahawa kouta adalah terhad kepada 24 pasukan sahaja, dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi penyelaras kejohanan iaitu Alexander Frusis (017-7117905), Abang Suffian (011-25119697) atau Donny Sumok (014-5857007).
Menurut Presiden PESTASA, Awangku Hafizi Awang Azahari, kejohanan ini menjadi platform penting kepada pemain muda untuk menonjolkan potensi selain memperkukuh pembangunan sukan takraw di peringkat akar umbi.
Beliau turut menggesa pasukan yang berminat agar segera mendaftar memandangkan kouta penyertaan adalah terhad, sambil berharap kejohanan ini berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan sokongan padu daripada masyarakat setempat.
Kejohanan selama dua hari itu dijangka menarik minat peminat sukan tradisional itu daripada seluruh kawasan Sri Aman, sekali gus membantu mengangkat sukan sepak takraw ke tahap yang lebih tinggi dan lebih kompetitif.
Oleh Adi Safarman