Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Piala Perpaduan Asajaya Edisi Ke-58 medan cungkil bakat bola sepak tempatan
  • SUKAN

Piala Perpaduan Asajaya Edisi Ke-58 medan cungkil bakat bola sepak tempatan

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATU Abdullah Julaihi. Foto Norman B

KUCHING: Deruan sorakan dan denyut semangat kesukanan bakal kembali mengisi Kampung Sambir apabila Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN Asajaya Edisi Ke-58 2026 membuka tirainya bermula 23 Mac hingga 4 April ini.

Penganjuran kejohanan itu sekali gus meneruskan warisan sukan rakyat yang telah berakar sejak hampir enam dekad lalu.

Kejohanan berprestij anjuran Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB) itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya simbol perpaduan masyarakat yang menghimpunkan peminat bola sepak dari sekitar Asajaya, Sadong Jaya, Samarahan, Kuching dan Serian dalam suasana Aidilfitri yang penuh makna.

Tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUDENR), Datu Abdullah Julaihi menegaskan bahawa Piala Perpaduan terus menjadi nadi pembangunan sukan akar umbi serta jambatan penyatuan komuniti pelbagai lapisan.

MENARIK…Datu Abdullah Julaihi (empat, kanan) dan Pengarah Urusan LSC, Raymond Sim Hee Pang (tiga, kiri) bersama tetamu kehormat yang lain menunjukkan piala, pingat dan hadiah yang bakal menjadi rebutan pasukan terbaik, menghidupkan kembali legasi bola sepak Kampung Sambir. Foto Norman B

“Kejohanan ini melangkaui sempadan sebuah pertandingan. Ia adalah pentas mencungkil bakat baharu, membina disiplin dan menyemai semangat kesukanan yang telah melahirkan ramai pemain berbakat untuk negeri Sarawak sejak dahulu,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kesinambungan penganjuran sehingga edisi ke-58 sebagai bukti iltizam penganjur dan masyarakat setempat dalam memelihara legasi bola sepak tempatan yang bermula sejak 1967, melalui era Piala Sambir Ekspres, Piala Ketua Menteri dan kini Piala Perpaduan.

Pada edisi kali ini, kelainan diperkenalkan dari segi peraturan serta struktur hadiah, menjadikan saingan lebih sengit dan berprestij.

Kejohanan ini turut menerima sokongan padu daripada penaja utama, Lea Sports Centre (LSC), yang terus komited menyokong pembangunan sukan komuniti. Sumbangan tersebut diperkukuh dengan penglibatan Pengarah Urusan LSC, Raymond Sim Hee Pang, sebagai tanda kepercayaan berterusan terhadap penganjuran Piala Perpaduan.

Juara edisi ke-58 bakal menjulang Piala Pusingan, piala iringan serta membawa pulang wang tunai RM7,000 bersama baucar pembelian LSC.

Ganjaran turut menanti Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Final, selain set jersi tajaan LSC untuk pasukan yang mara ke perlawanan akhir. Setiap pasukan yang tersingkir sebelum separuh akhir juga tidak dilupakan apabila menerima saguhati RM500.

SIDANG MEDIA…Datu Abdullah Julaihi berucap pada sidang media Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN Asajaya Edisi Ke-58 2026, di Kuching hari ini. Foto Norman B

Tidak ketinggalan, kategori Veteran 40 tahun ke atas turut mewarnai kejohanan dengan penyertaan terhad kepada 12 pasukan, menawarkan hadiah wang tunai, piala dan medal kepada pemenang. Secara keseluruhan, hadiah wang tunai yang dipertandingkan mencecah RM21,500.

Dengan sejarah yang Panjang dan sokongan komuniti yang kental, Piala Perpaduan Asajaya Edisi Ke-58 sekali lagi diangkat sebagai pentas utama mencungkil bakat bola sepak tempatan serta lambang perpaduan rakyat di bumi Sarawak.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: All England 2026: Jun Hao selamatkan kem Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.