
KUALA LUMPUR: Jaringan Dylan Thomas pada minit terakhir memberikan kemenangan pertama kepada New Zealand apabila mengatasi Jepun 2-1 pada aksi Kumpulan B pada saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Dunia (FIH) 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.
Jepun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gol padang oleh Shinohara Ryosuke pada minit kelima namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila New Zelanad menerusi Sam Hiha menyamakan kedudukan seminit kemudian.
Ketika perlawanan berlangsung seimbang, Thomas muncul wira apabila menyempurnakan gol pada minit ke-56 untuk memastikan juara bertahan melakar kemenangan pertama hari ini.
Ketua jurulatih New Zealand Greg Nicol mengakui perlawanan hari ini agak sukar susulan keadaan cuaca hingga menyebabkan perlawanan tertangguh beberapa kali selain pasukannya bergelut mencipta peluang untuk meraih kemenangan selesa.
“Ini adalah perlawanan pertama dan fokus kami adalah untuk mengutip tiga mata. Dalam kejohanan seperti ini, memulakan kempen dengan tiga mata meletakkan pasukan di kedudukan yang kukuh. Itu adalah matlamat utama,” katanya kepada pemberita di sini.
Mengenai perlawanan menentang tuan rumah Malaysia esok, Nicol menjangkakan corak permainan hampir sama ketika berdepan Jepun terutama kekemasan di bahagian pertahanan lawan.
“Sudah agak lama kita tidak menyaksikan kedua-dua pasukan ini beraksi. Perlawanan esok sudah pasti menarik untuk ditonton,” katanya.
Sementara itu, dalam aksi Kumpulan A, Perancis memulakan kempen dengan menewaskan Korea Selatan 6-5 manakala Afrika Selatan terikat 4-4 dengan Wales.
Piala Negara-Negara FIH 2025 yang membuka tirai hari ini, berlangsung hingga 21 Jun.
-Bernama