
PETALING JAYA: Selangor FC berjaya bangkit di saat akhir untuk mengikat Kuching City FC 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025-2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini malam ini.
Jaringan penyamaan dramatik pada masa kecederaan separuh masa kedua hasil sentuhan Chrigor Moraes itu memastikan skuad Gergasi Merah tidak pulang hampa selepas ketinggalan hampir keseluruhan perlawanan.
Pada pertembungan itu, Selangor hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-21 menerusi penyudah pemain pertahanan Ahmad Zikri Mohd Khalili namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Tuan rumah terus mengasak namun kekentalan benteng pertahanan Kuching City jelas terserlah termasuk aksi cemerlang pemain pertahanan Yuki Tanigawa yang melakukan terjahan penting bagi mengekang percubaan Chrigor Moraes pada minit ke-35.

Pasukan pelawat kemudian dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-42 selepas Wanja Ronald Ngah dijatuhkan di dalam kotak penalti sebelum beliau tenang menyempurnakan sepakan untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.
Bersambung babak kedua, Kuching City kendalian Aidil Sharin Sahak berpeluang menggandakan kedudukan pada minit ke-49, namun percubaan lemah Gabriel Nistelrooy Tamin mudah dipatahkan oleh Kalamullah.
Selangor meningkatkan intensiti permainan dengan melancarkan serangan bertali arus dalam usaha mencari gol penyamaan, namun barisan pertahanan Kuching City mempamerkan disiplin tinggi dalam bertahan.
Usaha berterusan tuan rumah bimbingan Kim Pan Gon akhirnya membuahkan hasil apabila Chrigor menolak masuk bola hantaran rakan sepasukan pada masa tambahan separuh masa kedua untuk mengikat kedudukan 1-1.
Selangor, yang menjulang Piala Malaysia terbanyak dengan rekod 33 kali, akan membuat perhitungan menentang Kuching City pada aksi timbal balik di Kuching 18 April depan.- Bernama