
BANDAR SERI BEGAWAN: Meskipun terpaksa akur dengan kekalahan tipis 2-3 kepada DPMM Brunei FC pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA 2025/2026 di Stadium Hassanal Bolkiah, Kuching City FC (KCFC) kekal fokus untuk bangkit pada aksi timbal balik di Stadium Negeri pada 14 September depan.
Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata, kekalahan itu harus dijadikan pengajaran dan motivasi untuk pasukan tampil lebih baik dalam perlawanan seterusnya.
“Inilah bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Walaupun kita dapat penalti, kita masih boleh terlepas, dan peluang itu datang dan pergi. Tetapi di sinilah kita perlu kekal positif, kerana keputusan 3-2 masih belum menamatkan segalanya.
“Kita masih ada perlawanan di laman sendiri, dan sudah tentu saya sentiasa positif dengan sokongan penyokong kita di stadium. Kami sememangnya menantikan aksi timbal balik,” ujarnya dalam sidang media selepas aksi tamat, semalam.
Mengulas prestasi lawan, beliau mengakui DPMM FC menunjukkan peningkatan berbanding dua perlawanan terdahulu, terutama dengan kemasukan penyerang Shafiq Ahmad yang kembali pulih daripada kecederaan dan memberikan impak positif kepada permainan mereka.

Pasukan tuan rumah memulakan perlawanan dengan baik apabila berjaya membuka jaringan seawal minit ke-5 menerusi Azwan Ali Rahman.
Namun, dua minit sebelum babak pertama berakhir, import KCFC, Ronald Ngah Wanja menyamakan kedudukan.
Hanya dua minit selepas babak kedua bersambung, KCFC pula berada di depan menerusi jaringan James Okwuosa yang menewaskan penjaga gol tuan rumah dari Macedonia, Kristijan Naumovski.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Miguel Oliveira pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian, sebelum Jordan Murray menambah gol ketiga DPMM FC pada minit ke-79.
Aksi bertambah dramatik apabila The City Boys dianugerahkan sepakan penalti di penghujung permainan, namun sepakan Gabriel Nistelrooy berjaya ditepis Naumovski untuk mengekalkan kedudukan 3-2 hingga tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Aidil enggan mengulas lanjut mengenai mutu pengadilan yang disifatkan masih perlu diperbaiki.
“Pengadil lebih tahu. Kalau saya komen, nanti ‘poket saya hilang’. Apa pun, mutu pengadilan perlu ditingkatkan kerana bola sepak kita semakin maju.
“Tetapi bagi saya, perlawanan sudah pun berakhir dan kita perlu terus mara,” katanya.
Menurut Aidil, KCFC perlu segera bangkit kerana bakal berdepan cabaran besar menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), salah satu pasukan terkuat dalam Liga Super pada 24 Ogos ini di Kuching. -UKAS