
JOHOR BAHRU: Perjalanan Kuching City FC (KCFC) dalam kempen Piala FA berakhir susulan kekalahan 0-2 di tangan JDT FC dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
KCFC tewas 4-1 secara agregat selepas kecundang 1-2 dalam aksi separuh akhir pertama sebelum ini di Kuching.
JDT terus tidak membuang masa dengan memulakan perlawanan secara agresif dengan menggasak kubu pertahanan KCFC yang menyaksikan pasukan lawan hanya mampu bertahan.
Percubaan demi percubaan berbahaya yang digerakkan pemain tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang berbisa JDT, Bergson memecah kebuntuan dengan meledak gol pertama pada minit ke-26.
Anak buah Aidil Sharin Sahak cuba bangkit dengan mengatur kembali corak permainan namun ketiadaan beberapa tonggak termasuk Ronald Ngah Wanja, Jordan Mintah, Gabriel Nistelrooy dan Daniel Amier menyukarkan skuad The City Boys merangka serangan ke arah kubu lawan.
KCFC seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol, Haziq Nadzli yang tangkas mematahkan deretan serangan pemain JDT.
JDT berjaya menambah jaringan pada minit ke-46 menerusi Arribas namun dibatalkan selepas semakan VAR mengesan kekasaran Bergson terhadap Scott Woods, sekali gus melegakan seketika KCFC.
Kedudukan itu tidak mematahkan keghairahan JDT untuk terus merangka serangan bertali arus ke gawang pelawat bagi mencari gol tambahan yang dinafikan oleh kekebalan barisan bek KCFC dan Haziq.
KCFC turut memiliki beberapa peluang untuk menyambar gol penyamaan menerusi kombinasi gerakan Joao Pedro, Muhammad Ramadhan dan Petrus Shitembi.
Namun, bek tuan rumah cemerlang menangkis peluang terbaik KCFC untuk membawa pulang gol saguhati.
Pemain bek JDT, Eddy Israfilov melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Selatan apabila tenang menolak masuk bola hantaran Samu Castillejo pada minit ke-83.
Keputusan itu kekal hingga wisel penamat untuk JDT sekali lagi mengesahkan kemaraan ke pentas final.
-UKAS