
LONDON: Piala Dunia Wanita 2031 dan 2035 akan menyaksikan penyertaan 48 pasukan, menurut pengumuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Majlis FIFA mengundi pada Jumaat untuk menambah jumlah pasukan bermula edisi 2031. Edisi 2027 yang akan diadakan di Brazil kekal dengan format 32 pasukan, lapor PA Media/dpa.
Kejohanan 2031 dijangka dianjurkan oleh Amerika Syarikat dengan sokongan negara di rantau berkenaan, manakala edisi 2035 pula berkemungkinan besar berlangsung di United Kingdom (UK).
Perubahan ini tidak mengejutkan memandangkan dokumen bidaan bagi Piala Dunia 2031 dan 2035 yang diterbitkan pada Mac lalu menyatakan bahawa format 32 pasukan ketika ini adalah “tertakluk kepada perubahan”.
UK hampir pasti menjadi tuan rumah edisi 2035 selepas Presiden FIFA Gianni Infantino bulan lalu menyatakan bahawa ia merupakan satu-satunya “bidaan yang sah” diterima setakat ini.
Dokumen bidaan rasmi mesti dikemukakan pada November dan akan dinilai sebelum undian pengesahan dilakukan oleh Kongres FIFA pada suku kedua 2026.
Piala Dunia Wanita sebelum ini baru sahaja berkembang kepada 32 pasukan daripada 16 pasukan bagi edisi 2023.
Terdapat keraguan terhadap keputusan itu tetapi perlawanan akhir di Australia dan New Zealand memberikan banyak kejutan dan sangat kompetitif, dengan hanya tiga daripada 32 pasukan gagal mencatat mata.
Keputusan itu bermakna mulai 2031 Piala Dunia Wanita akan menampilkan jumlah pasukan yang sama dengan perlawanan akhir lelaki, walaupun terdapat cadangan dari Amerika Selatan untuk menambah jumlah pasukan pusingan akhir sempena seratus tahun lelaki pada 2030 kepada 64 pasukan (diadakan sekali sahaja), sesuatu yang disifatkan oleh presiden UEFA Aleksander Ceferin bulan lepas sebagai “idea buruk.”
Presiden FIFA Infantino merupakan penyokong kuat untuk menambah pasukan perlawanan akhir wanita kepada 48 pasukan.
“Ini bukan sekadar tentang menambah 16 pasukan lagi dalam Piala Dunia Wanita FIFA, tetapi merupakan langkah seterusnya untuk pembangunan keseluruhan bola sepak wanita dengan memastikan lebih banyak persatuan anggota FIFA berpeluang meraih manfaat daripada kejohanan ini bagi memperkukuh struktur bola sepak wanita mereka secara holistik,” kata Infantino pada Jumaat.
“Piala Dunia Wanita FIFA 2023, yang menyaksikan semua konfederasi menang sekurang-kurangnya satu perlawanan dan pasukan dari lima konfederasi mara ke peringkat kalah mati, antara pelbagai rekod lain, menetapkan penanda aras baharu bagi daya saing global. Keputusan ini memastikan momentum pembangunan bola sepak wanita diteruskan di peringkat dunia.”
Majlis FIFA turut meluluskan rancangan untuk menubuhkan pasukan pelarian wanita Afghanistan. FIFA kini berhubung secara langsung dengan pemain terbabit, susulan larangan terhadap sukan wanita di Afghanistan di bawah rejim Taliban.
FIFA juga mengumumkan pengukuhan peraturannya bagi menangani isu perkauman.
Denda maksimum bagi kes penyalahgunaan berunsur perkauman dinaikkan daripada 1 juta franc Swiss kepada 5 juta franc Swiss (AS$6 juta), dan semua konfederasi diwajibkan melaksanakan protokol ‘tiga langkah’ untuk menangani insiden perkauman.
FIFA juga berhak untuk membuat rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan dalam kes penyalahgunaan berunsur perkauman dan akan campur tangan jika merasakan tindakan yang diambil oleh persatuan kebangsaan tidak mencukupi.– Bernama-PA Media/dpa