

NEW YORK: Usaha mega Fifa untuk merombak saingan kelab dunia bakal bermula 15 Jun ini di Amerika Syarikat (AS) dengan hadiah lumayan dan aksi 32 pasukan.
Namun, sambutan suam-suam kuku mencetuskan tanda tanya menjelang kejohanan sulung Piala Dunia Kelab edisi baharu itu.
Kejohanan yang dianggap ‘pemanas badan’ menjelang Piala Dunia 2026 itu bakal berlangsung di 12 stadium sekitar Amerika Syarikat termasuk Stadium Hard Rock, Miami iaitu venue perlawanan pembukaan antara Inter Miami yang diketuai Lionel Messi dan kelab Arab Saudi, Al Ahly.
Bagaimanapun, tinjauan di laman web rasmi Fifa mendapati tiket masih banyak belum terjual, termasuk untuk aksi final di Stadium MetLife, New Jersey pada 13 Julai.
Kemunculan Messi jadi tarikan utama, namun kehadiran Inter Miami juga mencetuskan kontroversi kerana kelab itu layak hanya selepas menduduki tangga teratas musim biasa MLS, walaupun tewas seawal pusingan pertama playoff.
Keputusan Fifa itu dikecam kerana dianggap lebih mementingkan populariti berbanding prestasi sebenar, apatah lagi kelab elit seperti Liverpool, Barcelona dan Napoli iaitu juara liga utama Eropah langsung tidak tersenarai.
Turut mencetuskan kekecohan ialah penyingkiran juara Liga Juara-Juara CONCACAF 2023, Club Leon, gara-gara isu pemilikan bersama.
Tempat mereka diambil alih oleh Los Angeles FC.
Menariknya, Fifa berjaya memuktamadkan perjanjian hak penyiaran bernilai AS$1 bilion (RM4.7 bilion) dengan platform sukan DAZN hanya enam bulan sebelum sepak mula.
Jumlah keseluruhan hadiah ditawarkan mencecah AS$1 bilion (RM4.7 bilion), dengan juara bakal meraih sehingga AS$125 juta (RM587 juta) iaitu lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan yang diraih PSG dalam 17 perlawanan Liga Juara-Juara musim lalu.
Namun begitu, ganjaran besar ini tidak mampu meredakan isu berbangkit seperti kesihatan pemain, apabila FIFPro, kesatuan pemain antarabangsa, mengambil tindakan undang-undang terhadap Fifa kerana memadatkan lagi jadual musim kompetitif.
Selepas dikecam gara-gara keadaan padang buruk dalam Copa America tahun lalu, Fifa beri jaminan bahawa semua stadium NFL yang digunakan kali ini akan gunakan rumput semula jadi dan ikut ukuran piawaian FIFA (105m x 68m).
Kejohanan ini membariskan kelab gergasi dunia seperti Real Madrid, Bayern Munich dan Manchester City.
PSG pula tampak dalam prestasi terbaik selepas membenam Inter Milan 5-0 dalam final Liga Juara-Juara Sabtu lalu.
Namun PSG harus berdepan cabaran getir dalam Kumpulan B bersama Botafogo (juara Brazil), Seattle Sounders (juara CONCACAF 2024) dan Atletico Madrid. – AFP