Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Piala Dunia diperluas 48 pasukan; Cerita lama berulang apabila Eropah menguasai suku akhir
  • SUKAN

Piala Dunia diperluas 48 pasukan; Cerita lama berulang apabila Eropah menguasai suku akhir

Utusan Sarawak 4 hours ago

Penyerang Sepanyol, Lamine Yamal (kiri) ketika beraksi di Arlington manakala penyerang Belgium, Leandro Trossard (kanan), beraksi di Vancouver. Sepanyol dan Belgium akan bertemu dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, Inglewood. — AFP

NEW YORK: Perluasan Piala Dunia kepada 48 pasukan memberi lebih banyak peluang kepada benua yang sebelum ini kurang mendapat tempat dalam kejohanan berprestij itu, namun senarai pasukan yang mara ke suku akhir menunjukkan kisah yang masih sama.

Enam daripada lapan pasukan terakhir adalah dari Eropah, dengan pengecualian juara bertahan Argentina yang diketuai Lionel Messi serta Maghribi.

Dengan Perancis, Sepanyol, Belgium, England, Norway dan Switzerland masih bersaing, kemungkinan berlakunya separuh akhir yang dikuasai sepenuhnya pasukan Eropah seperti edisi 2018.

Bahagian Eropah dalam slot Piala Dunia berkurangan dengan ketara sejak beberapa dekad lalu, daripada menguasai 14 daripada 24 tempat pada Piala Dunia Itali 1990 kepada 16 daripada 48 tempat pada edisi kali ini.

Namun, peningkatan jumlah slot kepada benua lain menyaksikan bahagian mereka bertambah, dengan Afrika menghantar 10 pasukan tahun ini berbanding hanya lima pada Piala Dunia Qatar 2022.

Tetapi apabila kejohanan memasuki fasa penentuan, Eropah kembali mendominasi – malah enam wakil Eropah di suku akhir kali ini meningkat berbanding lima pasukan empat tahun lalu.

Piala Dunia 2002 kekal sebagai pengecualian apabila hanya empat pasukan Eropah mara ke suku akhir.

Dalam bola sepak, Eropah menjadi pusat kekayaan dan bakat apabila majoriti pemain terbaik dunia beraksi dalam liga utama di benua itu.

Akademi bola sepak Eropah Barat pula memiliki jurulatih terbaik yang melahirkan pemain muda berbakat, dan banyak negara lain turut mendapat manfaat daripada sistem tersebut.

Maghribi, satu-satunya wakil Afrika yang masih bertahan selepas menjadi pasukan pertama benua itu mara ke separuh akhir Piala Dunia pada 2022, muncul sebagai kuasa baharu hasil pendekatan dua hala.

Beberapa pemain mereka termasuk pemain tengah kreatif Azzedine Ounahi adalah produk Akademi Mohammed VI, sebuah kemudahan bertaraf dunia berhampiran Rabat.

Namun, kebanyakan pemain mereka dilahirkan di Eropah Barat dan melalui sistem akademi di sana – termasuk kapten Achraf Hakimi dan Brahim Diaz dari Sepanyol, Noussair Mazraoui dari Belanda serta Ayyoub Bouaddi dari Perancis.

Dalam perlawanan pembukaan kejohanan menentang Brazil yang berakhir seri 1-1, Maghribi menjadi pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia yang pada satu ketika menurunkan kesebelasan utama yang kesemua pemainnya lahir di luar negara.

Kini, Maghribi berpeluang sekurang-kurangnya menyamai pencapaian bersejarah mereka mara ke separuh akhir pada 2022.

“Maghribi sentiasa berkembang, begitu juga Perancis. Kedua-dua pasukan ini lebih baik berbanding empat tahun lalu dan perkara itu dijangka berlaku berdasarkan kerja hebat yang dilakukan oleh kedua-dua persatuan bola sepak,” kata jurulatih Mohamed Ouahbi menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada Khamis.

– Sumpahan Brazil –

Hampir satu perempat daripada semua pemain yang dipilih untuk Piala Dunia kali ini mewakili negara yang bukan tempat kelahiran mereka – kebiasaannya pemain itu lahir di Eropah tetapi memilih memakai jersi negara lain.

Argentina pula berbeza. Kebanyakan pemain mereka dilahirkan di negara itu, namun ramai yang dikesan bakatnya sejak awal oleh kelab Eropah – Messi adalah contoh terbaik apabila menyertai Barcelona ketika masih remaja.

Kebanyakan pemain Brazil juga beraksi di Eropah, tetapi ini merupakan Piala Dunia pertama sejak 1990 yang menyaksikan mereka gagal mara ke suku akhir.

Ia berlaku walaupun Brazil melantik jurulatih dari Eropah, Carlo Ancelotti. Pemikirannya mudah – jika tidak mampu menewaskan mereka, sertai mereka.

Bagaimanapun, kekalahan Brazil kepada Norway pada pusingan 16 terbaik mengekalkan rekod buruk mereka apabila tewas setiap kali bertemu pasukan Eropah dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia sejak kali terakhir menjulang trofi pada 2002.

Sementara itu, Piala Dunia kali ini dilihat sebagai peluang terbaik buat Amerika Syarikat mara sekurang-kurangnya ke suku akhir – pencapaian yang pernah mereka lakukan pada 2002. Namun, kempen mereka berakhir dengan kekalahan besar 1-4 kepada Belgium.

Asia pula mencatat rekod sembilan wakil, tetapi hanya Australia dan Jepun berjaya melepasi peringkat kumpulan.

Colombia yang meletakkan harapan tinggi pula tersingkir menerusi penentuan penalti kepada Switzerland, sebuah lagi negara kecil Eropah Barat yang memiliki jumlah bakat luar biasa.

Switzerland mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 1954, dan pengalaman mereka berdepan pasukan elit Eropah memberi keyakinan bahawa mereka mampu mencabar Argentina.

“Ini peluang yang unik buat kami. Kami sudah melihat Argentina bukanlah pasukan yang tidak boleh dikalahkan,” kata jurulatih Switzerland, Murat Yakin. – AFP

Continue Reading

Previous: Mexico lantik Rafael Marquez sebagai ketua jurulatih

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.