
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Piala Dunia 2026 membuka tirainya di Amerika Syarikat pada Jumaat menerusi majlis pembukaan ala Hollywood sebelum tuan rumah bersama ketiga kejohanan itu memulakan kempen menentang Paraguay di Los Angeles.
“Selamat datang ke Amerika Syarikat,” laung suara latar yang bergema ketika imej papan tanda ikonik Hollywood dipaparkan pada skrin gergasi di Stadium SoFi, yang dinamakan sementara sebagai Stadium Los Angeles.
Sebuah pancaragam memulakan persembahan sebelum disertai beberapa artis terkenal termasuk Future, Tyla, Anitta dan bintang K-pop, Lisa.

Kostum serta prop persembahan direka untuk menampilkan seni jalanan Los Angeles dan industri kreatif bandar raya itu.
Pelakon Jason Sudeikis dan penyanyi Katy Perry pula dijadualkan membuat persembahan sejurus sebelum sepak mula.
Selebriti terkenal seperti Tom Cruise, David Beckham, Halle Berry, Rob Lowe, Owen Wilson dan Paris Hilton turut menyaksikan persembahan penari yang mengelilingi replika trofi Piala Dunia bersaiz gergasi di tengah padang.
Tergantung dari bumbung stadium futuristik berkapasiti 70,000 penonton itu ialah huruf gergasi “FIFA” berwarna emas, warna yang menjadi kegemaran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang tidak menghadiri majlis tersebut.
Sebaliknya, beliau menghubungi pasukan kebangsaan menerusi telefon dan berkata: “Saya fikir anda mempunyai peluang yang sangat baik untuk mara sejauh mungkin. Saya hanya ingin mengucapkan selamat maju jaya.”

Penyokong Amerika Syarikat, yang sebahagian besarnya berpakaian seperti Uncle Sam, Patung Liberty dan helang botak, mengejek pemain Paraguay ketika mereka turun untuk sesi memanaskan badan.
“Saya percaya kami mampu melangkah jauh,” kata penyokong AS, Isaac Pizarro, yang membayar AS$1,900 (kira-kira RM8,000) bagi setiap tiket untuk hadir bersama anak lelakinya yang berusia 14 tahun, Jacob.

Bagaimanapun, sokongan penyokong Paraguay turut kelihatan ketara apabila puluhan bendera negara itu berkibar di tengah-tengah lautan warna merah, putih dan biru yang dipakai penyokong kedua-dua pasukan.
Pertahanan tengah Amerika Syarikat, Chris Richards, berjaya mengatasi masalah kecederaan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama, begitu juga pemain sayap berbahaya Paraguay, Julio Enciso.

Dua lagi tuan rumah bersama, Mexico dan Kanada, telah pun mengharungi perlawanan pertama masing-masing yang turut diserikan dengan majlis pembukaan berasingan di negara masing-masing.
Mexico menewaskan Afrika Selatan 2-0, manakala Kanada bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Bosnia dan Herzegovina, sekali gus meraih mata pertama dalam sejarah penyertaan mereka di pusingan akhir Piala Dunia. — AFP