
KANSAS CITY: Jentera serangan England yang digembar-gemburkan mempamerkan aksi meyakinkan dalam kemenangan pembukaan Piala Dunia ke atas Croatia, namun persoalan mengenai benteng pertahanan masih menghantui ketika mereka memburu tempat ke pusingan kalah mati pada awal pagi Rabu ini (waktu Malaysia).
Skuad kendalian Thomas Tuchel itu dua kali dibolosi pada separuh masa pertama ketika menentang Croatia di Arlington, Texas sebelum meningkatkan prestasi untuk mencatat kemenangan 4-2.
Ia merupakan persembahan yang mengagumkan menentang pasukan Croatia yang berpengalaman tetapi semakin berusia, namun cabaran lebih sukar menanti apabila berdepan pasukan yang memiliki kepantasan dan kekuatan serangan lebih hebat seperti Perancis, Sepanyol dan Argentina.
Selepas ini England akan menentang Ghana di Boston, dengan The Three Lions berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik sebagai juara Kumpulan L jika mereka menewaskan wakil Afrika itu dan Panama gagal mengatasi Croatia.
Di atas kertas, masalah pertahanan England mungkin tidak begitu ketara. Mereka mara cemerlang dalam kempen kelayakan tanpa melepaskan sebarang gol dalam lapan perlawanan.
Namun, barisan pertahanan mereka mempunyai dua kelemahan utama — kurang pengalaman dan rekod kecederaan yang membimbangkan.
Bekas pertahanan England, Gary Neville yang kini menjadi pengulas Sky Sports berkata, persembahan babak pertama menentang Croatia pasti menimbulkan kebimbangan.
“Saya fikir ia akan membuatkan Thomas Tuchel melakukan penyesuaian untuk perlawanan kedua dan ketiga, serta memikirkan semula cara dia menggunakan benteng pertahanan dan bagaimana untuk melindungi mereka,” katanya.
Ketua jurulatih itu membuat keputusan meninggalkan tiga pemain yang mempunyai pengalaman kejohanan besar di tanah air, iaitu bek kanan Real Madrid, Trent Alexander-Arnold serta dua pemain Manchester United, Luke Shaw dan Harry Maguire.
England turut kehilangan Tino Livramento akibat kecederaan sebelum kejohanan bermula dan menggantikannya dengan Trevoh Chalobah yang hanya memiliki satu penampilan antarabangsa.
Kurang pengalaman
Situasi itu menyaksikan sembilan pemain pertahanan dalam skuad 26 pemain England hanya mengumpul 191 kap secara keseluruhan, dengan 90 daripadanya milik John Stones.

Tiga anggota benteng empat pemain ketika menentang Croatia — Reece James yang sering dibelenggu kecederaan, Ezri Konsa dan Nico O’Reilly yang berusia 21 tahun — membuat penampilan sulung di Piala Dunia.
Perdebatan utama kini tertumpu kepada sama ada pertahanan Manchester City, Marc Guehi, perlu menggantikan Konsa di posisi pertahanan tengah, walaupun pemain Aston Villa itu menjadi pilihan Tuchel.
Jurulatih dari Jerman itu menghargai pengalaman dan ketenangan Stones walaupun pemain tersebut hanya beraksi dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris musim lalu sebelum meninggalkan Manchester City.
Namun, bekas penyerang England, Chris Sutton berpendapat Tuchel sepatutnya menggandingkan Konsa dan Guehi berbanding menurunkan Stones yang menurutnya kurang memiliki keupayaan fizikal seperti dua pertahanan lebih muda itu.
“Saya fikir Konsa dan Guehi mempunyai kelebihan dalam situasi satu lawan satu berbanding John Stones dan akan ada ketika dalam perlawanan mereka perlu berdepan pemain bertaraf dunia secara satu lawan satu,” katanya kepada BBC.
Penyerang England, Ollie Watkins pula kurang bimbang mengenai situasi pertahanan itu.Bercakap kepada media di pusat latihan England di Kansas City pada Ahad, beliau menolak kritikan terhadap benteng pasukan.
“Saya fikir orang sentiasa mahu mengkritik dan mencari kelemahan tertentu, tetapi secara defensif kami mempunyai pemain bertaraf dunia yang telah memenangi trofi besar dan bermain di tahap tertinggi.
“Mungkin kami memulakan perlawanan dengan sedikit gementar tempoh hari, tetapi apabila rasa gugup itu hilang, anda dapat lihat pada separuh masa kedua kami benar-benar mengatasi Croatia,” katanya. – AFP