Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Piala Dunia: Apa yang dipelajari selepas pusingan pertama
  • SUKAN

Piala Dunia: Apa yang dipelajari selepas pusingan pertama

Utusan Sarawak 3 hours ago
LIONEL Messi meraikan gol pembukaan Argentina dalam perlawanan Kumpulan J Piala Dunia 2026 menentang Algeria di Stadium Kansas City, Kansas City pada 16 Jun 2026. — Foto AFP

LOS ANGELES: Daripada aksi cemerlang Lionel Messi yang seolah-olah mengembalikan zaman kegemilangannya, stadium yang penuh sesak hinggalah kejutan Cape Verde yang berjaya mengikat Sepanyol, berikut adalah perkara yang dipelajari selepas pusingan pertama perlawanan Piala Dunia:

Messi masih berbisa

Pengembaraan Piala Dunia Lionel Messi kelihatan mencapai penutup yang sempurna di Qatar empat tahun lalu apabila beliau menjulang trofi kejuaraan. Namun, ternyata cerita itu belum berakhir.

Menjelang ulang tahunnya yang ke-39, kapten Argentina itu tidak dapat menolak peluang terakhir untuk memburu trofi paling berprestij dalam bola sepak dan beliau membuktikannya dengan hatrik memukau di Kansas City.

Gol-gol Messi ketika menentang Algeria — dua rembatan padu serta satu penyudah tajam di depan gawang — menyaksikannya menyamai rekod sepanjang zaman Piala Dunia milik Miroslav Klose dengan 16 gol.

Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, kini hanya dua gol di belakang

“Akhirnya, ia hanyalah satu statistik dan tidak lebih daripada itu,” kata Messi dengan penuh gembira.

Tiada angka yang mampu menggambarkan sepenuhnya kehebatan Messi, namun statistik tersebut membantu menceritakan kisah seorang pemain yang terus memukau pentas bola sepak dunia.

Menentang Austria pada Isnin nanti, Messi berpeluang memecahkan rekod itu secara mutlak dan mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara pemain terbaik yang pernah menghiasi sukan tersebut.

CHRISTIANO Ronaldo meninggalkan padang selepas keputusan seri 1-1 antara Portugal dan Republik Demokratik Congo dalam perlawanan Kumpulan K Piala Dunia 2026 di Stadium Houston, Texas awal pagi tadi. Foto AFP.

Ronaldo tumpul

Cristiano Ronaldo menjadi tumpuan dalam perlawanan pembukaan Portugal menentang Republik Demokratik Congo selepas tiga bintang besar bola sepak menyerlah pada pusingan pertama.

Mbappe dan Erling Haaland masing-masing menjaringkan dua gol untuk memulakan saingan Kasut Emas dengan cemerlang, manakala Messi mengatasi semuanya menerusi hatrik.

Namun, Ronaldo yang kini beraksi di Arab Saudi lebih banyak menjadi pemerhati ketika Portugal sekadar seri 1-1 di Houston.

Pada usia 41 tahun, Ronaldo hanya mencatat 25 sentuhan bola — jumlah paling sedikit dalam satu perlawanan kejohanan utama bersama Portugal apabila bermain sepanjang 90 minit.

Malah, pemain yang semakin menghampiri angka 1,000 gol sepanjang kariernya itu kini gagal menjaringkan gol dalam 10 perlawanan berturut-turut di kejohanan utama.

Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, kini berdepan keputusan sukar sama ada untuk merehatkan pemain yang memiliki antara karier paling gemilang dalam sejarah bola sepak.

Cape Verde buktikan relevannya format 48 pasukan

Penjaga gol Cape Verde, Vozinha, yang menangis sambil dipeluk rakan sepasukan selepas perlawanan menjadi antara imej paling ikonik pusingan pertama apabila negara kepulauan dengan populasi lebih 500,000 orang itu berjaya mengikat juara Eropah, Sepanyol, tanpa jaringan.

Skuad Sepanyol dijangka mudah mencatat kemenangan di Atlanta, namun mereka gagal menembusi benteng yang diketuai penjaga gol berusia 40 tahun itu.

Kejayaan Cape Verde itu juga memberi jawapan kepada pengkritik format baharu 48 pasukan, termasuk Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, yang pernah mendakwa format tersebut akan menghasilkan perlawanan yang “langsung tidak menarik”.

Aksi cemerlang Vozinha turut menjadikannya sensasi media sosial. Daripada hanya memiliki kira-kira 50,000 pengikut Instagram sebelum perlawanan, jumlah itu melonjak kepada hampir 13 juta, mengatasi ikon NFL Patrick Mahomes dan bintang NBA Victor Wembanyama.

DUA gol setiap seorang, dua kemenangan buat pasukan masing-masing, dan mungkin juga dua pemain yang ditakdirkan untuk mencorakkan perjalanan Piala Dunia kali ini. Kylian Mbappe (kiri) dan Erling Haaland memulakan kempen dengan bergaya, mengukuhkan status mereka sebagai antara calon utama pemburu Kasut Emas 2026. — Foto AFP

Stadium penuh walaupun tiket mahal

Pemandangan Levi’s Stadium di Santa Clara yang hampir penuh ketika perlawanan Austria menentang Jordan pada Selasa membuktikan harga tiket yang tinggi tidak menghalang peminat hadir ke stadium.

Menurut FIFA, kehadiran rasmi seramai 68,527 penonton bagi perlawanan itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan 281,223 penonton yang menghadiri perlawanan pada hari tersebut.

Angka itu mengatasi rekod kehadiran harian Piala Dunia sebelum ini iaitu 277,070 penonton yang dicatatkan pada 28 Jun 1994.

Pengadil lebih berhati-hati melayangkan kad merah

Hanya empat kad merah dilayangkan pada setiap dua edisi Piala Dunia sebelum ini, iaitu pada 2018 dan 2022, menunjukkan penurunan ketara berbanding kejohanan terdahulu.

Pada mulanya, kejohanan kali ini kelihatan bakal menyaksikan banyak kad merah apabila tiga pemain dibuang padang dalam perlawanan pembukaan yang menyaksikan Mexico menewaskan Afrika Selatan 2-0.

Namun, prestasi pengadil Brazil, Wilton Sampaio, dipercayai mendorong FIFA menggalakkan para pengadil supaya lebih berhati-hati sebelum melayangkan kad merah.

Hasilnya, tiada seorang pun pemain dibuang padang dalam 23 perlawanan berikutnya. — AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Wahi dinafikan visa Kanada, terlepas aksi Piala Dunia Ivory Coast bertemu Jerman

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.