Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Piala Dunia 2026: Satu lagi tarian terakhir Messi, Ronaldo dan penganjuran terbesar
  • SUKAN

Piala Dunia 2026: Satu lagi tarian terakhir Messi, Ronaldo dan penganjuran terbesar

Utusan Sarawak 3 hours ago
SATU lagi tarian terakhir Messi dan Ronaldo. Foto: AI

KUALA LUMPUR: Tirai Piala Dunia FIFA 2026 bakal dibuka Khamis ini dengan edisi ke-23 kejohanan itu menjanjikan era baharu sebagai temasya bola sepak terbesar dalam sejarah.

Buat pertama kali, kejohanan berprestij itu akan menampilkan 48 pasukan berbanding 32 sebelum ini, selain ia dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, sekali gus menjadi Piala Dunia pertama yang dihoskan oleh tiga negara secara serentak sejak edisi sulung di Uruguay pada 1930.

Format baharu menyaksikan 48 pasukan dibahagikan kepada 12 kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat pasukan.

Juara dan naib juara setiap kumpulan, bersama lapan pasukan tempat ketiga terbaik, akan mara ke pusingan 32 terbaik sebelum saingan diteruskan secara kalah mati sehingga ke perlawanan akhir.

Perubahan itu menjadikan jumlah keseluruhan perlawanan meningkat kepada 104 berbanding 64 pada edisi terdahulu, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak negara merasai pentas tertinggi bola sepak dunia.

Aksi pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan dijadual berlangsung di Stadium Mexico City pada 11 Jun pukul 1 tengah hari waktu tempatan (3.00 pagi 12 Jun waktu Malaysia), manakala oerlawanan akhir akan diadakan di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai selepas 39 hari saingan berlangsung di 16 bandar tuan rumah.

Piala Dunia kali ini turut mencipta sejarah apabila Mexico menjadi negara pertama menjadi tuan rumah sebanyak tiga kali selepas edisi 1970 dan 1986, manakala Stadium Mexico City atau lebih dikenali sebagai Stadium Azteca pula bakal menjadi venue pertama menganjurkan tiga perlawanan pembukaan Piala Dunia.

Menambah kemeriahan ialah kehadiran tiga maskot rasmi yang mewakili negara tuan rumah iaitu Maple the Moose dari Kanada, Zayu the Jaguar (Mexico) dan Clutch the Bald Eagle dari Amerika Syarikat, yang melambangkan identiti, budaya dan semangat bola sepak negara masing-masing.

Selain itu, Piala Dunia 2026 turut menjadi edisi pertama yang menjamin sekurang-kurangnya satu wakil daripada setiap enam konfederasi FIFA beraksi  pada pusingan akhir, selaras dengan usaha memperluaskan penyertaan di peringkat global.

Penambahan jumlah pasukan turut memberi manfaat besar kepada Asia apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kini menikmati lapan slot automatik ke pusingan akhir.

Piala Dunia 2026 juga berpotensi menjadi pentas terakhir buat dua ikon bola sepak moden, Cristiano Ronaldo dari Portugal dan Lionel Messi dari Argentina, yang masing-masing dijangka membuat penampilan keenam di kejohanan itu, sekali gus mencipta rekod baharu dalam sejarah Piala Dunia.

Messi yang membantu Argentina memenangi gelaran dunia ketiga pada edisi 2022 di Qatar, ketika ini memegang rekod penampilan terbanyak dalam sejarah Piala Dunia dengan 26 perlawanan.

Kejohanan kali ini juga berpotensi menyaksikan Messi dan Ronaldo mencipta sejarah sebagai pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia sejak penampilan sulung mereka pada 2006 di Jerman.

Menariknya, Portugal masih memburu gelaran Piala Dunia pertama dalam sejarah meskipun pernah melahirkan beberapa pemain terbaik dunia termasuk Ronaldo serta mara ke separuh akhir pada 1966 dan 2006.

Selain Argentina dan Portugal, antara pasukan yang dijangka menjadi pencabar utama ialah Brazil yang memegang rekod lima gelaran dunia, Jerman (empat), Perancis (dua) serta Sepanyol dan England yang hadir dengan gabungan pemain berpengalaman dan bakat baharu.

Peminat juga pasti menantikan kemunculan generasi baharu bintang bola sepak dunia yang bakal mengambil alih pentas daripada nama-nama besar yang mendominasi sukan itu sepanjang dua dekad lalu.

Bagi jutaan peminat di Malaysia, bola sepak mula di Mexico bukan sekadar menandakan bermulanya pesta bola sepak terbesar dunia, malah turut menghidupkan harapan untuk melihat Jalur Gemilang berkibar megah di pentas Piala Dunia suatu hari nanti. – Bernama 

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Eriksen dalam keadaan ‘bersemangat’ selepas rebah ketika perlawanan persahabatan
Next: Jerman bukan pilihan utama, tidak akan gagal seperti 2018, 2022 – Muller

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.