Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Phra Prang Wat Arun di Thailand dicalon sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO
  • GLOBAL

Phra Prang Wat Arun di Thailand dicalon sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Utusan Sarawak 9 hours ago
PHRA Prang Wat Arun Ratchawararam, antara mercu tanda Buddha paling ikonik di Bangkok.

BANGKOK: Phra Prang Wat Arun Ratchawararam, antara mercu tanda Buddha paling ikonik di Bangkok, kini telah dicalonkan untuk pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, umum Menteri Kebudayaan Thailand Paetongtarn Shinawatra.

Dalam satu kenyataan, Paetongtarn berkata pada Sesi ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia  yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, secara rasmi telah mengiktiraf penyenaraian pagoda utama Wat Arun sebagai pencalonan awal.

“Penyenaraian ini memulakan proses rasmi ke arah pengiktirafan penuh Wat Arun sebagai Tapak Warisan Dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perhubungan Awam pada Isnin.

Terletak di tebing barat Sungai Chao Phraya, Wat Arun Ratchawararam – lebih dikenali sebagai Wat Arun atau Kuil Fajar – kuil purba yang telah digunakan sejak zaman Ayutthaya (kurun ke-18).

Dalam kenyataan yang disiarkan di laman webnya, UNESCO menyatakan bahawa Phra Prang Wat Arun Ratchawararam merupakan bentuk chedi bergaya prang yang paling sempurna. (Phra Prang atau Prang merujuk kepada chedi dalam seni bina Thai berbentuk menara tinggi yang digunakan untuk mengabadikan peninggalan Buddha).

Ia dianggap sebagai antara karya seni bina paling unik di Thailand, mencerminkan kepentingan sejarah dan budaya yang mendalam dari zaman Rattanakosin.

PHRA Prang Wat Arun Ratchawararam, antara mercu tanda Buddha paling ikonik di Bangkok.

Paetongtarn berkata Kementerian Kebudayaan telah mengamanahkan Jabatan Seni Halus untuk menyediakan Dosier Pencalonan serta menyelia usaha pemuliharaan dan pengurusan tapak mengikut piawaian warisan antarabangsa.

“Persediaan ini penting bagi membolehkan proses pencalonan bergerak ke peringkat seterusnya. Ia merangkumi dokumentasi menyeluruh, perancangan pemuliharaan dan strategi pemeliharaan jangka panjang untuk memastikan tapak ini bersedia dinilai UNESCO,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pencalonan pagoda utama Wat Arun bukan sahaja mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap warisan budaya Thailand, malah membuktikan komitmen berterusan negara itu dalam memelihara khazanah sejarahnya untuk generasi akan datang.

Senarai pencalonan UNESCO merangkumi tapak-tapak yang ingin dinilai oleh negara anggota bagi pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia pada masa hadapan.

Ketika ini, tujuh tapak Thailand dalam senarai pencalonan termasuk Songkhla dan penempatan lagun berkaitannya (2024), Rizab Alam Semula Jadi Laut Andaman Thailand (2021), Kompleks Phanom Rung, Muang Tam dan Plai Bat (2019), Phra That Phanom serta bangunan dan landskap sejarah yang berkaitan (2017), Monumen, Tapak dan Landskap Budaya Chiang Mai, Ibu Kota Lanna (2015), dan Wat Phra Mahathat Woramahawihan di Nakhon Si Thammarat (2012).

–Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Persatuan juruterbang tolak dakwaan kesilapan manusia punca nahas Air India

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.