PETALING JAYA: Pharmaniaga Bhd meneroka pasaran pengguna kedua terbesar dunia, China, melalui kerjasama penting dengan JD.com, syarikat dalam talian terbesar republik itu berdasarkan hasil.
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kerjasama itu akan membolehkan syarikat itu mengakses 570 juta pengguna JD.com dan seterusnya kepada lebih 1.4 bilion populasi di China.
“Kami memerlukan rakan kongsi berkaliber tinggi dan telah memilih JDMas Commerce Sdn Bhd, pengendali JD.com, untuk mengkomersialkan produk kami kerana JDMas sudah memiliki rangkaian logistik dan pengedaran yang mantap di China.
“Meneroka pasaran China bukanlah mudah terutamanya untuk produk farmaseutikal.
“Bagaimanapun, memandangkan produk Pharmaniaga sangat diiktiraf dan diperakui oleh badan kawal selia tempatan serta antarabangsa, kami yakin kerjasama ini akan menjadi potensi pertumbuhan yang besar untuk Pharmaniaga,” kata Zulkarnain pada majlis menandatangani memorandum persefahaman dengan JDmas di sini, hari ini.
Untuk memulakan inisiatif itu, Pharmaniaga bercadang untuk mula menyenaraikan produk jualan di kaunternya (OTC) termasuk Citrex Vitamin C, Citrex Gummies, Baraka Habbatus Sauda, dan Sweet Royale di Pavilion Malaysia di platform itu menjelang Januari 2023, katanya.
Kerjasama itu juga akan memanfaatkan platform dipacu teknologi dan data yang disediakan oleh JD.com dan sekutunya seperti Douyin, Kwaishou dan WeChat.
Zulkarnain juga berkata kerjasama itu dijangka meningkatkan hasil semasa produk OTC itu sebanyak 100 peratus kepada 150 peratus pada tahun pertama, dengan jangkaan hasil mencecah AS$30 juta menjelang 2025 dengan produk lain diperkenalkan di platform JD.com.
Sementara itu, Pengarah Urusan JDMas Datuk Bruce Lim berkata sebagai rakan kongsi rasmi, ia akan membantu Pharmaniaga memasuki platform e-dagang perniagaan kepada pengguna (B2C), dengan menyasarkan pengguna terlebih dahulu.
“Setelah kami menetapkannya, kami akan meneroka cara pengedaran lain, seperti platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B), dan meneruskan usaha-usaha lain semasa kami berkembang.
“Kami memerlukan kira-kira enam bulan untuk memahami data pasaran dan menentukan tindakan seterusnya,” kata Lim.
Pharmaniaga ialah syarikat farmaseutikal terkemuka yang pemegang saham utamanya ialah Boustead Holdings Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. – Bernama