
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian telah menyerahkan satu unit mesin Defibrilator Luaran Automatik (AED) kepada Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) pada majlis ringkas di Klinik Kesihatan Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, hari ini.
Penyerahan tersebut diterima oleh Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Rosdi Inai yang mewakili seluruh warga pasukan keselamatan berkenaan.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyokong keperluan logistik dan mempertingkat tahap kesiapsiagaan serta kesejahteraan anggota keselamatan.
“Kita mahu anggota pasukan keselamatan seperti PGA bukan sahaja menjaga keselamatan awam, tetapi juga memiliki keupayaan untuk bertindak pantas dalam situasi kecemasan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, mesin AED merupakan peralatan penting dalam menangani kes kecemasan seperti serangan jantung dan boleh digunakan dengan pantas oleh individu terlatih bagi meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa.
Beliau turut menekankan kepentingan latihan penggunaan AED secara berkala agar peralatan tersebut dapat dimanfaatkan dengan cekap dan berkesan ketika berdepan situasi sebenar.
Penyerahan mesin AED berkenaan dijangka dapat memperkukuh kesiapsiagaan Briged Sarawak PGA dalam menangani sebarang insiden kecemasan kesihatan sama ada semasa operasi, latihan mahupun di kawasan penempatan pasukan.
Turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Supt Ku Majidi Che Ku Jusoh serta wakil Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) yang turut memberi penerangan ringkas tentang prosedur penggunaan AED.