
KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai barangan tanpa kelulusan dengan rampasan keseluruhan bernilai RM1.16 juta hasil serbuan Op Taring Awas/ Batas di beberapa lokasi di selatan negeri ini baru-baru ini.
Komander PGA Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata dalam operasi 2 Julai lepas di Bau, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan merampas 9,000 kilogram (kg) produk makanan sejuk beku bernilai RM522,000 termasuk sebuah lori.
“Pada hari yang sama, PGA turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun juga di kawasan Bau dan merampas 6,500 kg produk makanan sejuk beku berjumlah RM367,000 termasuk sebuah lori,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dalam operasi pada 30 Jun di Serian, PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bersama muatan 600 liter minyak diesel dan tiga tong dram tanpa permit sah.
“Turut dirampas sebuah buah kenderaan jenis Toyota Hilux dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM136,728 mengikut harga pasaran,” katanya.

Che Ghazali berkata dalam operasi di daerah Tebedu pada Sabtu, PGA menemukan satu longgokan kotak dibalut plastik hitam yang disyaki mengandungi rokok belum lulus cukai.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 145 karton rokok putih di kawasan berkenaan. Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM78,300 mengikut harga pasaran,” katanya.
Beliau berkata pada hari sama juga di kawasan Tebedu, PGA telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun bersama 576 kg gula, serta merampas sebuah van dengan anggaran nilai keseluruhan RM62,141.60.
–Bernama