KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 24 kejayaan operasi penguatkuasaan sepanjang 1 hingga 13 Ogos lalu dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM40.39 juta.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai berkata operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Chiller, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah di beberapa daerah di seluruh Sarawak.
Katanya, operasi berkenaan melibatkan Lundu, Padawan, Bintulu, Miri, Kota Samarahan, Betong, Bau, Serian, Kuching, Sri Aman dan Sarikei, selain Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA serta batalion di bawah briged berkenaan.
Menerusi Op Taring Alpha, sebanyak empat kes dengan lima tangkapan direkodkan membabitkan penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras tanpa kelulusan Kastam. Rampasan melibatkan rokok, minuman keras, sebuah lori dan dua kenderaan bernilai RM1.94 juta. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Op Taring Bravo pula merekodkan satu kes dengan satu tangkapan di Betong membabitkan penyelewengan dan penyimpanan diesel dalam kuantiti banyak tanpa dokumen atau permit sah.
Sebanyak 7,500 liter diesel, dua tangki skid, dua jentera berat kren serta pelbagai tong dan peralatan mengepam minyak dirampas, dengan nilai keseluruhan RM1.15 juta. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Lim berkata Op Taring Chiller mencatatkan nilai rampasan tertinggi, dengan 12 kes dan 12 tangkapan di Bintulu, Kota Samarahan, Kuching, Bau, Miri, Sibu, Sri Aman, Padawan dan Serian.
Operasi itu membawa kepada rampasan kira-kira 573.85 tan produk sejuk beku termasuk ayam, daging, ikan, kambing, sotong dan ketam, selain ayam hidup, stor sejuk beku, forklift, lori serta mesin dan peralatan pemprosesan. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM33.97 juta.
Kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Op Taring Batas/Awas merekodkan tiga kes dengan sembilan tangkapan di Lundu, Bau dan Serian membabitkan kemasukan ke Malaysia tanpa dokumen atau permit sah serta penemuan barangan kawalan yang ditinggalkan di tepi jalan.
Rampasan terdiri daripada sembilan telefon bimbit, dua kenderaan, 1,080kg gula, enam tong gas dan 221kg minyak masak serta barangan kawalan lain, dengan nilai keseluruhan RM158,099.
Op Taring Libas pula merekodkan tiga kes dengan tiga tangkapan di Padawan, Kuching dan Kota Samarahan membabitkan aktiviti pemprosesan serta pengumpulan kayu tanpa dokumen atau permit sah.
Rampasan melibatkan kayu diproses dan belum diproses, forklift, lori serta pelbagai mesin dan peralatan pemprosesan kayu bernilai RM3.06 juta. Kes diserahkan kepada Sarawak Timber Industry Development Corporation untuk tindakan lanjut.
Bagi Op Bersepadu Khazanah, satu kes dengan satu tangkapan direkodkan di Padawan membabitkan pemilikan dan pemeliharaan hidupan liar dilindungi tanpa dokumen atau permit sah.
Pemeriksaan membawa kepada rampasan 7.6086kg sarang burung walit serta pelbagai peralatan pemprosesan bernilai RM125,548.80.
Kes diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Lim berkata kejayaan berkenaan mencerminkan usaha berterusan Briged Sarawak PGA dalam membanteras penyeludupan, pengedaran barangan tidak bercukai, penyelewengan barangan kawalan, kemasukan tanpa dokumen sah, pengedaran produk makanan tanpa permit, kegiatan kayu tanpa permit serta pemilikan hidupan liar dilindungi secara tidak sah.
Beliau berkata Briged Sarawak PGA akan terus mempergiatkan penguatkuasaan menerusi operasi bersepadu dan risikan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Oleh Connie Chieng





