KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak memperkukuh tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya menerusi Taklimat Persiapan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Siri 2/2026, hari ini.
Taklimat yang berlangsung di Dewan Pahlawan, Briged Sarawak PGA itu bertujuan memberi pendedahan dan menyegarkan semula pengetahuan pegawai serta anggota berhubung peranan, tanggungjawab dan tugasan yang perlu dilaksanakan ketika menghadapi penugasan pilihan raya.
Taklimat disampaikan oleh Pegawai Turus D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, DSP Jawai Francis Kempas, dan turut dihadiri Pegawai Pendakwaan D5, Insp Nur Shafiqa Nyaie Ilin.

Turut hadir Pegawai Turus Latihan Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA, ASP Alkarnia Nyohid, serta pegawai kanan dari Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA dan Batalion 11 PGA Sarawak.
Dalam taklimat itu, penekanan diberikan terhadap aspek kesiapsiagaan, pematuhan prosedur serta pelaksanaan tugas secara profesional bagi memastikan setiap penugasan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Taklimat berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman anggota PGA mengenai tugas dan tanggungjawab mereka, selain memastikan tahap kecekapan serta kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum.
Langkah itu penting bagi memastikan pegawai dan anggota PGA sentiasa bersedia melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan sepanjang tempoh penugasan pilihan raya DUN Sarawak.
Oleh Adele Rissa



