Oleh Mohidin Haji Malek
APABILA berbicara tentang penghasilan sajak, banyak yang telah diperkatakan oleh para pengulas lewat ruangan ini yang sudah pastinya dapat dijadikan pegangan serta panduan bagi pendatang baharu, khususnya para pelajar, bagi menghasilkan karya yang baik dan bermutu. Namun demikian, sepanjang pemerhatian penulis semasa menaakul karya yang disiarkan untuk tujuan ulasan serta bimbingan, masih terkesan ketidakprihatinan penyumbang karya tentang aspek-aspek yang telah diperkatakan.
Penulis bukan berhasrat untuk menuding jari kepada pendatang baharu dalam dunia kepenulisan. Apatah lagi membantut semangat mereka yang berkobar-kobar untuk berkarya. Banyak faktor tersembunyi yang mungkin menyebabkan hal ketidakpekaan berlaku. Antaranya termasuklah ketidaksampaian maklumat akibat masalah pengedaran akhbar yang menyiarkan ruangan ini. Hal yang sedemikian sukar untuk diatasi memandangkan struktur geografi negeri ini.
Namun, dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, aspek pengulangan berupa salah satu komponen primer bagi tujuan memugar serta menyuburkan kembali ingatan tentang apa-apa juga ilmu pengetahuan yang tersimpan dalam arkib pemikiran. Lantaran hal yang sedemikian, kaedah serta pendekatan yang berbeza perlu diterapkan agar tidak timbul pula kebosanan dalam kalangan pembaca tegar ruangan ini.
Selaras dengan hal yang sedemikian, sisi pandangan ulasan pada kali ini melihat akan kewajaran memaknakan diksi dalam bait sesebuah sajak. Sudut ini sememangnya nampak tipikal seandainya dilihat dari segi konteks yang literal sifatnya. Bukannya sukar untuk mencari makna sesuatu perkataan. Buka sahaja mana-mana kamus, khususnya Kamus Dewan, akan terpapar makna perkataan yang dicari. Malah untuk melihat dari aspek etimologi atau asal usul sesuatu perkataan pun mampu dilakukan dengan mudah. Akan tetapi, dalam penulisan sajak, aspek perlambangan berupa suatu elemen yang mewujudkan ‘keindahan’ atau nilai estetika terhadap karya berkenaan. Pernyataan ini mungkin tidak seratus peratus dipersetujui oleh sebilangan tertentu orang, akan tetapi, hakikatnya kreativiti dalam penghasilan sesebuah karya seni sewajarnya memiliki nilai keindahan. Hal yang menjadi tarikan kepada khalayak untuk menyantuninya.
Di samping hal yang sedemikian, dalam pembinaan bait lewat diksi-diksi yang sesuai, sama ada sebagai perlambangan atau sebagai sebahagian daripada ‘jasad’ sajak yang dihasilkan, seharusnya tertitip mesej yang ingin disampaikan oleh pengkaryanya. Bagi karyawan yang mapan, mesej yang diutarakan berupa falsafah yang amat berguna dalam konteks ‘memanusiakan manusia’, seperti yang lazim diutarakan oleh penulis sebelum ini.
Berlandaskan apa-apa yang telah diperkatakan, aspek memaknakan diksi atau perkataan wajar diberikan perhatian khusus. Hal yang sedemikian ini boleh diibaratkan umpama membuat pilihan yang tepat bagi memaknakan kehidupan seseorang. Lumrahnya manusia dihadirkan dengan pelbagai pilihan dalam kehidupan, sama ada dalam pembentukan sahsiah, cara atau gaya hidup, pekerjaan mahupun pasangan. Terpulang kepada seseorang itu sendiri untuk membuat pilihan yang sama ada akan memberikan makna kepada kehidupan dalam konteks penterjemahan hidup yang selesa, bahagia, harmoni dan tenteram ataupun yang sebaliknya. Sudah pastinya keinginan untuk membuat pilihan yang terbaik menjadi pilihan primer. Tidak ada seorang manusia pun yang menginginkan kehidupan sukar dan menyesakkan. Demikian pemerihalan pemilihan diksi yang akan membangkitkan keindahan kepada sesebuah sajak. Pemilihan diksi yang tepat serta bersesuaian berupa proses ‘pembusanaan jasad sesebuah sajak’ daripada kain yang ditenun daripada benang halus dan lembut, tetapi utuh di samping penerapan motif-motif menarik dan dengan warna yang menawan deria tatap.
Bertitik tolak daripada hal sedemikian ini, penulis melaraskan daya taakul pada tiga buah sajak yang disiarkan dalam ruangan ini minggu lalu. Tiga buah sajak yang dimaksudkan, “Berbicaralah Seperti Rasulullah” nukilan Radiyah Affandi, “Andai Aku Bukan Ranting” tulisan Benedict Anak Samling dan “Manusia” karya Alice Mohd.
Membaca, menaakul serta mencerna ketiga-tiga buah sajak yang dihasilkan menerbitkan perasaan yang bercampur baur. Namun, hal yang pasti, ketiga-tiga pengkarya berkenaan telah berusaha untuk menghasilkan sajak untuk tatapan khalayak pembaca. Pun demikian, masih ada ruang untuk melakukan penambahbaikan bagi memantapkan karya-karya berkenaan.
Menaakul sajak “Berbicaralah Seperti Rasulullah”, Radiyah Affandi mengetengahkan satu mesej yang boleh dianggap berat. Sajak ini boleh dikategorikan sebagai sajak sufi, seperti sajak “Hanya Engkau” nukilan Jalaludin Rumi, penyair Persia yang terkemuka. Bandingkan rangkap pertama sajak “Hanya Engkau” dengan sajak “Berbicaralah Seperti Rasulullah” seperti yang berikut;
Hanya Engkau
Dari seluruh semesta,
hanya engkau sahaja yang kupilih,
Apakah Engkau akan membiarkanku
duduk bersedih?
Berbicaralah Seperti Rasulullah
Dalam menyusun bicara
usah menyusuk jarum dusta
duri caci dan selumbar keji
Permulaan kedua-dua sajak ini membangkit keterujaan untuk menelusuri aliran ‘darah’ dalam ‘saraf’ sajak berkenaan. Walaupun bersahaja, namun dalam konteks sajak Jalaludin, terselit suatu elemen ‘pemikat’ yang dihadirkan lewat pemilihan diksi yang sesuai dalam kerangka bait yang mudah. Pertanyaan yang dihadirkan dalam baris ketiga dan keempat, menjentik naluri pembaca untuk mengetahui apakah ‘jawapan’ atau perungkaian kepada persoalan berkenaan. Sajak “Berbicaralah Seperti Rasulullah”, turut terkesan unsur ‘pemikat’ namun tidak sedalam sajak “Hanya Engkau”. Hal yang sedemikian disebabkan bayangan awal tentang apa-apa yang akan diutarakan Radiyah telah terpapar dalam tajuknya. Perkataan Engkau dan Rasulullah memiliki ciri pentakrifan yang berbeza. Satu bersifat subjektif atau umum, manakala satu lagi bersifat khusus. Perkataan Engkau yang huruf awalnya dieja menggunakan huruf besar, dilihat sebagai mematuhi kehendak dalam penulisan sesebuah tajuk dan lantas, sukar untuk dikhususkan pengertiannya.
Radiyah menyambung nukilannya dengan dua rangkap seterusnya seperti yang berikut;
Jangan dipenuh sampah sumpah seranah
hanyir umpat dan nanah fitnah
kerana ia bukan pakaian orang beriman
atau asuhan akhlak Islam
Berbicaralah seperti Rasulullah
penuh berisi inti hikmah
sarat menjunjung kebenaran
dalam kelembutan
tanpa hampa sisa-sisa
menyeru makruf
menyekat mungkar
Rangkap kedua sajak ini berupa sambungan pernyataan rangkap pertama dan boleh sahaja dirangkumkan dalam satu rangkap. Namun, nilai keindahan sedikit tercalar dengan pemilihan serta pengolahan bait yang tidak dikawal. Pun demikian halnya dengan rangkap ketiga. Usaha Radiyah untuk menampilkan sebuah sajak yang menyeru ke arah pembentukan sahsiah yang elok dalam konteks berbahasa sememangnya dan wajar dalam konteks perkembangan semasa. Namun, titipan nasihat itu akan membawa kesan yang lebih mendalam dengan membuat pemurnian, khususnya pada rangkap kedua dan ketiga.
Memang agak kurang wajar untuk membandingkan karya penyajak terkemuka seperti Jalaluddin Rumi dengan sajak Radiyah, akan tetapi dengan melihat sisi-sisi perbezaan yang diperkatakan, akan tergali ilmu daripada kaedah yang sedemikian dengan syarat, tidak wujud rasa rendah diri atau putus asa. Pembacaan dan penaakulan tentang karya-karya penyajak atau penyair agung dunia suatu amalan yang baik bagi mengembangkan ilmu pengetahuan serta membuka mandala pemikiran tentang aliran sajak yang dinukilkan, dengan syarat, usah menciplak karya-karya berkenaan.
Beralih kepada puisi kedua, iaitu “Andai Aku Bukan Ranting”, Benedict Anak Samling memilih ‘ranting’ sebagai perlambangan untuk menggambarkan dirinya yang ‘berjuang’ menempuhi liku-liku kehidupan yang penuh dengan cabaran. Sajak ini lebih berupa peluahan keresahan berada dalam situasi yang agak goyah seperti yang digambarkan lewat bait bertaut pada pohon reput. Tidak dapat dipastikan sama ada perlambangan pohon reput yang digunakan merujuk insan yang membesarkannya mahupun individu atau kelompok masyarakat yang menaunginya. Hal yang jelas, Benedict ingin ‘bebas’ daripada situasi kalut dan merimaskan, di samping mencari tempat bergantung harap yang baharu. Beliau mengimpikan dirinya insan yang berbeza daripada dirinya kini.
Pun demikian, Benedict agak kurang berhati-hati dalam pengolahan sajaknya. Pemilihan perlambangan serta diksi ada ketikanya memperlihatkan percanggahan yang ketara. Pertama, baris pertama dan kedua sajak berkenaan bertentangan dengan logika akal. Pada lazimnya, pohon yang reput jarang-jarang sekali ‘menunaskan’ ranting atau daun baharu. Seandainya Benedict melambangkan dirinya sebagai ‘ranting kecil’, secara rasionalnya dirinya juga ‘reput’.
Berlandaskan hakikat sedemikian ini, memang sukar baginya untuk membantu ranting-ranting lain di bawahnya, seperti yang dinyatakan lewat baris kelima rangkap berkenaan. Menambahkan lagi kekeliruan kepada pembaca rangkap kedua sajak berkenaan dimulakan dengan aku keseorangan. Terkesan percanggahan yang ketara sekiranya dilihat kembali baris kelima iaitu untuk membantu ranting di bawah. Jika dikatakan aku keseorangan, lantas tidak akan ada ranting lain selain dirinya.
Rangkap ketiga dan keempat pula menyirat keinginannya untuk mengubah situasi seandainya dirinya berbeza dari segi kedudukan dan penampilannya kini. Namun, seperti yang dinyatakan pada awal makalah ini, ketelitian memilih diksi bagi membentuk bait yang mengesankan kurang diambil perhatian oleh Benedict. Hal yang sedemikian difahami. Keterujaan untuk meluahkan perasaan yang membuak-buak, ada waktu dan ketikanya membuatkan pengkarya teralpa.
Kita imbau karya Benedict seperti yang berikut;
Andai Aku Bukan Ranting
Aku ranting kecil
berrtahan pada pokok reput
memandang ke atas
mencari tempat berpaut
untuk membantu ranting di bawah
agar terus bertahan
Aku keseorangan
di bawahku
ada akar menelan hujan
menunggu waktu menjadi tanah
Andai Aku bukan ranting
akar itu kucabut
dibuang ke dalam hutan api
pasti tunas tidak bercambah
andai aku bukan ranting
akan kupilih biji terbaik
dicambah menjadi pokok baru
Sajak “Manusia” yang ditulis oleh Alice Mohd. pula ringkas, namun membawa mesej yang juga agak berat untuk diperkatakan. Terlalu banyak sisi-sisi yang mampu diterokai apabila seseorang pengkarya cuba mengetengahkan tajuk ini. Namun, Alice secara umumnya ingin menyatakan bahawa kehidupan sebagai manusia tidak semudah dan seindah yang dimpi-impikan. Noktah. Pun demikian, terkesan persoalan primer yang perlu difikirkan bersama untuk mencari jawapannya.
Pertama, benarkan seandainya ‘realiti’ tidak ‘tenggelam di dalam mimpi’, kehidupan tidak akan jadi kacau-bilau? Hal ini penting untuk dilihat dan difahami kerana apa-apa yang dinukilkan, walaupun dalam bentuk kreatif, masih berpaut pada konsep ‘realisme’, dan dalam konteks sajak ini ‘realisme kehidupan’. Realiti tidak semestinya indah dan dalam situasi tertentu, realiti kehidupan itu telah ‘tertulis’. Lantaran hal yang sedemikian, sikap berhati-hati perlu diamalkan dalam apa-apa juga genre pengkaryaan. Pewajaran memaknakan kata-kata berupa elemen yang perlu diambil perhatian serius. Tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang sajak ini, namun mesejnya amat baik sekiranya diperkuat dengan pengolahan yang baik. Sajak ini mampu diperbaiki dan dikembangkan menjadi sajak yang kuat dan bermutu.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga buah sajak yang ditampilkan membawa mesej yang baik dan berguna. Namun demikian, penekanan tentang pemilihan diksi yang sesuai dan pengolahan bait yang baik perlu diberikan perhatian oleh ketiga-tiga orang pengkaryanya. Usah patah semangat atau berasa kecil hati dengan ulasan yang diberikan. Jadikannya sebagai panduan dalam proses penghasilan sajak-sajak pada masa akan datang. Tahniah dan syabas kepada Radiyah Affandi, Benedict Anak Samling dan Alice Mohd. Teruslah berkarya. Timba ilmu sebanyak yang mampu dengan membaca dan menaakuli karya penulis-penulis mapan sebagai penerokaan dan peluasan minda dalam dunia kepenulisan.