SETELAH Akta A1642 diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah untuk diwarta dan dikuatkuasakan, Kerajaan Sarawak bergerak selangkah, ‘berani’ dan ‘yakin’ dengan usul menukar gelaran Ketua Menteri kepada Primier. Hal yang sedemikian bakal dilaksanakan melalui pembentangan cadangan pembentangan rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Sarawak penggal pertamanya.
Cadangan RUU berkenaan bertujuan meminda gelaran Ketua Menteri dalam Perlembagaan Negeri kepada Primier di bawah RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022. Di samping itu, RUU tersebut turut menyentuh pindaan Perkara 7(A) Perlembagaan Negeri Sarawak untuk menukar gelaran Menteri Muda kepada Timbalan Menteri.
Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar), pertukaran berkenaan adalah soal status gelaran dan tidak bermaksud adanya sebarang peningkatan pembiayaan bagi ketua pentadbiran tersebut. Tambah beliau, gelaran Primier bukanlah asing memandangkan Australia yang juga berupa sebuah negara bersekutu, menggunakan gelaran yang sama. Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Hamzah menyatakan bahawa perubahan tersebut tidak membawa perubahan yang signifikan, akan tetapi sekadar bertujuan untuk memperhalusi istilah gelaran.
Persoalan yang menjadi fokus masyarakat, khususnya warga Sarawak adalah, apakah istilah yang bakal diguna pakai dalam bahasa Malaysia. Adakah istilah Primier, dikekalkan ataupun istilah Perdana Menteri diguna pakai. Dari aspek kewajaran, pertukaran berkenaan tidak seharusnya dijadikan isu untuk dipolemikkan. Hal ini berdasarkan keanggotaan Sarawak dalam sebuah Persekutuan yang setara dari segi urus tadbir wilayah masing-masing. Hal yang serupa dalam konteks penggunaan gelaran Menteri dan sebagainya di peringkat Kementerian Kerajaan Persekutuan yang juga diguna pakai di peringkat Kerajaan Negeri. Struktur yang telah sekian lama diamalkan.
Dengan melaraskan pandangan dari segi pengiktirafan kedudukan kedua-dua buah entiti ini sebagai rakan sekutu, memberikan Sarawak dan Sabah ‘kuasa’ untuk bergerak sejajar, selaras dan setara dengan apa-apa juga struktur yang diamalkan di Semenanjung Malaysia. Pengiktirafan yang turut membezakan status kedua-dua buah entiti ini daripada status negeri-negeri lain di bawah jajahan sekutu ‘induk’ di tanah seberang. Hal yang tidak mustahil sedikit sebanyak bakal menimbulkan perdebatan, khususnya dalam kalangan warga tanah seberang, akan tetapi, hakikat berkenaan wajar diterima dalam semangat kesepakatan yang termeterai hampir mencecah tempoh tiga suku abad lamanya.
Sememangnya sudah cukup ‘matang’ tempohnya untuk Sarawak, khususnya, memulakan langkah yang proaktif ke arah memberikan fokus sepenuhnya terhadap pembangunan dan kemajuan tanpa wujud ‘campur tangan’ dan ‘kawalan berlebihan’ dari Kerajaan Pusat. Akan tetapi, pada masa yang sama mengekalkan unsur ‘mesra rakan sekutu’ dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan negara secara keseluruhan.
Namun, seperti yang dibangkitkan pada awal bahagian wacana ini, apakah istilah yang sesuai diguna pakai untuk gelaran berkenaan dalam bahasa Malaysianya? Menyentuh hal sedemikian ini, Datuk Seri Wan Junaidi menyatakan, hal sedmikian akan dirujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun, apakah mungkin, berdasarkan penerimaan secara umum akan terjemahan perkataan ‘premier’ tersebut, gelaran “perdana Menteri akan disarankan? Pun mungkinkah dengan mengambil kira akan faktor-faktor terselindung, kata gelaran Premier berkenaan dikekalkan dan diterima pakai serta dimasukkan sebagai entri dalam Kamus Dewan? Andai penggunaan gelaran Perdana Menteri menjadi pilihan pula, wujudkah kemungkinan akan ditukar kepada Menteri Perdana, bagi mematuhi hukum DM Bahasa Melayu? Jika benar, langkah sedemikian pasti dilihat dalam kalangan ahli bahasa khususnya, sebagai langkah proaktif serta komitmen Kerajaan Sarawak memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan persis, di samping memperkasakan penggunaan Bahasa Inggeris.
Apa-apapun keputusannya, terpulang kepada kebijaksanaan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri memperdebatkan hal sedemikian. Perkara yang bermain dalam minda penulis adalah, apakah aksi dan reaksi yang bakal dipertontonkan oleh sebilangan daripada ahli masyarakat serta kumpulan berkepentingan tertentu terhadap perkara ini.Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!