MIRI : Petugas barisan hadapan di Bahagian Miri akan menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama, mulai 6 Mac ini.
Mereka meliputi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) serta anggota barisan hadapan lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Vaksin berkenaan akan diberikan bermula jam 3.00 petang di Dewan Eastwood dan Dewan Dato Permaisuri, Permyjaya di sini.
Pemberian dua dos vaksin dengan selang 21 hari antara dos pertama dan dos kedua dijangka akan tamat pada minggu pertama April 2021.
Menteri Pengangkutan yang juga merupakan menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, aktiviti pemberian vaksin Covid-19 fasa pertama untuk kategori barisan hadapan akan dilaksanakan serentak secara berjadual dan melalui temujanji di enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bahagian Miri.
“Sebanyak dua PPV dikhususkan untuk Barisan Hadapan kategori Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu di Hospital Miri dan Hospital Marudi.
“Manakala, empat lagi PPV dikhususkan untuk Barisan Hadapan Kesihatan Awam KKM dan Bukan-KKM iaitu di Dewan Eastwood, Dewan Dato Permaisuri, Permyjaya, Dewan Suarah Marudi dan Dewan Masyarakat Bekenu.
“Petugas-petugas PPV akan berada di PPV dari jam 8.00 pagi membuat persiapan dan persediaan secara harian di semua PPV yang disenaraikan,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat secara maya menerusi aplikasi Zoom dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di sini, semalam.
Kim Shin berkata, waktu pemberian vaksin dijadualkan bermula dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, dengan waktu rehat antara jam 1.00 petang hingga 2.00 petang.
“Setiap Jabatan yang telah disenaraikan sebagai Barisan Hadapan telah menetapkan seorang Pegawai Penyelaras di peringkat jabatan masing-masing.
“Senarai temujanji, lokasi PPV dan bilangan untuk diberikan vaksin pada setiap hari akan dimaklumkan kepada Pegawai Penyelaras Jabatan Barisan Hadapan masing-masing.
“Pegawai Penyelaras daripada setiap Jabatan Barisan Hadapan dimohon untuk bekerjasama rapat dengan Ketua Jabatan Barisan Hadapan masing-masing untuk penyampaian maklumat dan penyelarasan semasa aktiviti pemberian vaksin dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Kim Shin berkata, tarikh tentatif aktiviti pemberian vaksinasi Covid-19 Fasa 2 kepada golongan berisiko tinggi iaitu warga emas, pesakit kronik dan kanak-kanank adalah tentatif pada bulan April 2021.
“KKM dan JPBN Sarawak akan memaklumkan secara rasmi pada waktu yang terdekat bagi pemberian vaksin Covid-19 Fasa 2,”ujarnya.
Oleh LIONG CHAI LING