
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang menyuarakan keyakinan terhadap hala tuju Sarawak dalam sektor minyak dan gas, walaupun berlakunya penarikan diri syarikat ConocoPhillips daripada projek perairan dalam Salam-Patawali.
Menurut beliau, projek tersebut masih berada dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan, justeru penarikan diri itu tidak wajar dilihat sebagai satu kerugian buat Sarawak.
“Pintu masih belum tertutup. Masih ada ruang untuk ConocoPhillips kembali pada masa akan datang—kali ini dengan syarat yang lebih adil kepada Sarawak, di mana Petros mewakili kepentingan negeri,” katanya.
Beliau mencadangkan supaya diwujudkan perkongsian yang lebih seimbang, seperti usaha sama 50:50, di mana Sarawak boleh memperuntukkan lima peratus kepada Kerajaan Persekutuan sebagai pengiktirafan terhadap peratusan sama yang diberikan kepada negeri itu sejak lebih 50 tahun lalu.
“Memandangkan minyak dan gas itu datang dari wilayah Sarawak sendiri, kita tidak keberatan untuk berkongsi. Tetapi ia harus berasaskan keadilan,” katanya.
Mengambil contoh model Guyana bersama ExxonMobil, di mana kerajaan negara tersebut menerima bahagian hasil yang besar tanpa sebarang pelaburan pendahuluan, Lo menegaskan bahawa Sarawak juga berhak mendapat layanan serupa.
Tambahnya, Sarawak hanya menerima bayaran tunai sebanyak lima peratus di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74), iaitu undang-undang yang diluluskan semasa tempoh Darurat tanpa kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Tiada rekod dalam Hansard kita yang menunjukkan bahawa akta ini pernah diluluskan oleh DUN Sarawak,” jelas beliau.
Beliau turut melahirkan kekecewaan kerana walaupun Sarawak menyumbang besar kepada hasil negara, pembangunan dan infrastrukturnya masih ketinggalan disebabkan kekangan peruntukan persekutuan.
Menurut Lo, Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 mendahului PDA74 dan kekal sah dari segi perundangan sebagai asas kawalan negeri ke atas sumbernya sendiri.
“Sama ada mahkamah memihak kepada kita atau tidak, hakikatnya Sarawak perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam mengurus dan memanfaatkan kekayaan semula jadinya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan peranan berterusan Petronas dalam merundingkan urus niaga minyak dan gas bagi pihak Sarawak, sedangkan operasi sebenar sering dijalankan oleh syarikat antarabangsa.
“Jika Shell atau ConocoPhillips yang menjalankan operasi, Petros seharusnya boleh berurusan secara terus dengan mereka. Tidak ada keperluan untuk Petronas menjadi orang tengah jika tidak terlibat secara langsung,” tegasnya.
Menurut beliau, Sarawak tetap terbuka kepada pelabur global, asalkan syarat-syarat kerjasama adalah adil, telus dan saling menguntungkan.
“Ini bukan soal konfrontasi. Ini soal menegakkan keadilan dan menunaikan janji-janji dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya lagi.
Lo turut menyuarakan sokongan terhadap pendirian tegas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mempertahankan hak negeri, sambil menegaskan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang mengemudi negeri ke arah masa depan yang lebih kukuh dan berdaulat.
“Biar orang sinis berkata apa sahaja. Sarawak melangkah ke hadapan dengan yakin, jelas, dan mengawal takdirnya sendiri,” katanya.
Oleh Connie Chieng