
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) hari ini menandatangani dua perjanjian tenaga strategik serta satu perjanjian kajian penyimpanan bersama rakan industri antarabangsa bagi membuka potensi penerokaan daratan Sarawak melalui program khusus, serta memajukan projek Pemerapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS) di Central Luconia, Sarawak.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Pengerusi Petros, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, dan melibatkan Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC), SC Tubular Solutions Malaysia Sdn Bhd (SCTSM), Superconducting Sensor Technology Corporation (SUSTEC) serta Woodside Energy menunjukkan komitmen berterusan Sarawak dalam pertumbuhan tenaga melalui perkongsian strategik.

Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo berkata “Hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting Petros dalam memacu masa depan tenaga Sarawak. Melalui kolaborasi ini, kita mengukuhkan perkongsian dan menggalakkan inovasi untuk membuka peluang baharu dalam penerokaan serta pembangunan rendah karbon. Bersama rakan global kita, kita membentuk ekosistem tenaga yang boleh dipercayai, adil dan inklusif bagi menyokong pertumbuhan serta kemakmuran jangka panjang Sarawak.”
Petros akan bekerjasama dalam projek penerokaan daratan pertama bersama JOGMEC di kawasan Mukah-Balingian. Usahasama ini membolehkan kedua-dua pihak memperoleh pengetahuan lebih mendalam tentang struktur bawah tanah Sarawak, menyokong pembangunan minyak dan gas daratan yang bertanggungjawab dan berpanjangan.
Selain itu, kolaborasi ini turut membangunkan kepakaran tempatan serta memberi peluang kepada bakat Sarawak untuk memimpin dalam inovasi dan penerokaan bertanggungjawab.
Seiring itu, Petros bersama SC Tubular Solutions Malaysia dan SUSTEC akan memulakan Kajian Bukti Konsep menggunakan teknologi Superconducting Quantum Interference Device – Transient Electromagnetic Method (SQUID-TEM) SUSTEC bagi mengesan isyarat minyak dan gas di medan Adong Kechil Barat berhampiran Miri.

Ini merupakan penggunaan pertama teknologi ini di Sarawak, menzahirkan komitmen Petros untuk menerima inovasi dan teknologi bagi meningkatkan ketepatan penerokaan, mengurangkan ketidakpastian, serta membuka potensi sumber Sarawak dengan lebih optimum.
Bagi CCUS, Petros turut menandatangani Perjanjian Kajian Penyimpanan bersama Woodside Energy, syarikat tenaga global yang berpengalaman luas dalam minyak dan gas serta produk tenaga baharu dan perkhidmatan rendah karbon.
Perjanjian ini, dibangunkan di bawah Sarawak Bid Round 2024, meliputi Tapak 3A di Central Luconia, luar pesisir Sarawak, dan menyaksikan Woodside menilai kebolehlaksanaan teknikal dan komersial penyimpanan karbon secara selamat di dasar laut.
Kolaborasi ini selaras dengan visi Petros untuk menjadikan Sarawak hab serantau bagi CCUS serta memacu peralihan industri rendah karbon.
Petros diwakili oleh Naib Presiden Subsurface dan Pembangunan, Jeremy Wong untuk perjanjian dengan JOGMEC/SUSTEC, manakala Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak, Dato Abang Arabi Abang Narudin bagi perjanjian dengan Woodside.
Wakil JOGMEC ialah Naib Presiden Eksekutif Unit Perniagaan Tenaga, Mori Hiroyuki, SUSTEC diwakili Presiden dan Co-CEO, Tsunehiro Hato, SC Tubular Solutions Malaysia Sdn Bhd oleh Presiden, Yosuke Yamashita dan Woodside oleh Pengurus Besar, Pemerapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon, Andrew Nicholls.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga perkongsian strategik ini dijangka memperkukuh keupayaan tenaga Sarawak, mempercepatkan inovasi dalam penerokaan dan teknologi rendah karbon, mewujudkan peluang baharu untuk bakat dan perniagaan tempatan, serta menyokong visi negeri menjadi hab serantau pembangunan tenaga yang cekap.