SELESAI PINDAHAN PERNIAGAAN… Penyempurnaan ini menandakan pengoperasian kerjasama tersebut bagi perniagaan gas asli cecair (LPG) di Sarawak. Semua silinder berisi gas Petronas Gas (hijau) merupakan PETROS (merah) yang dipasarkan oleh PETROSNiaga dan semua peniaga sedia ada Petronas LPG merupakan peniaga PETROS LPG bermula semalam.
KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) mengumumkan penyempurnaan perjanjian pindahan perniagaan dan langganan saham untuk PETROSNiaga Sdn Bhd.
Penyempurnaan ini menandakan pengoperasian kerjasama tersebut bagi perniagaan gas asli cecair (LPG) di Sarawak.
Dalam kenyataan bersama, syarikat itu berkata, bermula semalam, semua silinder berisi gas Petronas Gas (hijau) merupakan PETROS (merah) yang dipasarkan oleh PETROSNiaga dan semua peniaga sedia ada Petronas LPG merupakan peniaga PETROS LPG.
“Ini merupakan komitmen bersama kami untuk menawarkan perkhidmata lebih baik kepada pelanggan LPG di Sarawak dengan menyediakan bahan api haria kepada semua rakyat Sarawak, disediakan secara lebih adil terutamanya untuk mereka yang berada di kawasan pedalaman.
“Pengoperasian kerjasama strategik ini memenuhi aspirasi Kerajaan Sarawak bagi perniagaan LPG yang dikendalikan PETROS ke seluruh negeri dan merealisasikan hasrat Ordinan Pengedaran Gas 2016 negeri,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETROS Janin Girie.
Pengarah Urusan dan CEO PDB, Azrul Osman Rani berkata, syarikat itu akan terus memberikan perkhidmatan untuk masyarakat Sarawak.
“Kerjasama ini adalah langkah strategik untuk menggabungkan kekuatan, pengalaman dan kecekapan kedua-dua syarikat minyak dan gas untuk menyampaikan perkhidmatan lebih baik dan bernilai kepada pelanggannya, di samping meningkatkan pasaran LPG di negeri berkenaan,” katanya.
Perjanjian yang telah selesai dengan PETROS membabitkan penjualan perniagaan LPG Sarawak PDB kepada PNiaga dan langganan 49 peratus pegangan ekuiti dalam PNiaga.
Sementara itu, entiti bersama PETROSNiaga menampilkan lembaga pengarah bersama yang dipengerusikan oleh Abang Arabi Abang Narudin (Naib Presiden Kanan – Strategi Korporat, PETROS) dan wakil pemegang saham daripada PETROS dan PDB.
Pengarah sedia ada – Bong Siet Fah (Ketua Pegawai Kewangan PETROS) disertai pelantikan baharu Pramela Vallinayagan (Ketua Perniagaan LPG, PBD) dan Farzlina Ahmad Murad (Ketua Pegawai Kewangan PDB).
Lai Ah Kiaw dilantik sebagai CEO PETROSNiaga. – Bernama