
NANJING (China): Sarawak terus memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan ekonomi hijau apabila Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan China Jiangsu International Economic Technology Cooperation Group Ltd. (CJI) memeterai Perjanjian Rangka Kerja bagi membuka laluan kepada mereka bentuk dan membangunkan taman perindustrian masa hadapan di Bumi Kenyalang.
Pengerusi Petros, Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo berkata, selain perjanjian itu, pihaknya juga akan menyaksikan pemeteraian tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pelabur berpotensi yang telah menyatakan minat untuk melabur tenaga, kepakaran dan sumber dalam pembangunan taman perindustrian di Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) iaitu satu inisiatif utama di bawah Pelan Induk Gas Sarawak.
Menurutnya, ini merupakan bukti nyata keupayaan CJI menarik pelaburan yang amat penting dalam membina ekosistem perindustrian yang dinamik dan berhubung dengan rangkaian global.
“Pemeteraian perjanjian hari ini mencerminkan perkongsian kerajaan kepada kerajaan (G2G) yang signifikan antara Jiangsu dan Sarawak, sekali gus memperkukuh peranan kedua-dua wilayah sebagai rakan strategik dalam kerjasama tenaga dan perindustrian serantau.
“Melalui perkongsian strategik ini, Sarawak akan terus meningkatkan keterhubungan globalnya, memanfaatkan kepakaran antarabangsa untuk membina keupayaan tempatan serta mengangkat Kuching sebagai hab perindustrian rendah karbon terkemuka di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Rangka Kerja
di antara Petros dan CJI di sini, hari ini.
Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros) Datuk Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Dato Janin Girie, Pengerusi CJI, Song Qinbo dan Presiden CJI, Zhu Xingbao.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada Mei lepas, Petros secara rasmi memilih CJI sebagai salah satu daripada dua rakan saham teras untuk membangunkan sebuah taman perindustrian dalam KLCH yang dicadangkan.
Jelasnya, pemilihan ini dibuat selepas proses penilaian yang ketat serta berasaskan data, bagi memastikan hanya rakan kongsi paling sesuai dipilih.
“Dalam usaha mengenal pasti rakan teras yang tepat, Petros menjalankan penilaian landskap secara menyeluruh dan berhubung dengan lebih 300 syarikat antarabangsa, menilai mereka berdasarkan kepakaran teknikal, kekuatan kewangan serta keselarasan dengan visi Sarawak ke arah ekosistem perindustrian rendah karbon dan berasaskan inovasi.
“Daripada jumlah itu, kami mengadakan perbincangan mendalam bersama lebih 60 pelabur berpotensi, dan 21 syarikat menyatakan minat kukuh untuk menyertai pembangunan KLCH. Penilaian kesesuaian strategik kemudiannya dilaksanakan dan empat syarikat berpotensi tinggi dikenal pasti.
“Hasil hampir dua tahun proses penilaian yang sistematik dua syarikat dipilih sebagai rakan teras dan CJI merupakan salah satu daripadanya,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, CJI dipilih kerana mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh serta rangkaian luas untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dari China dan peringkat antarabangsa.
Seterusnya katanya, CJI juga memiliki rekod prestasi cemerlang dalam menyampaikan projek berskala besar dan kompleks dengan selamat.
“Antara lain komitmen terhadap penyertaan Sarawak dan pembangunan bakat tempatan dan nilai tambah unik yang selaras dengan matlamat pembangunan jangka panjang Sarawak,” katanya lagi.
-UKAS