AZREEN KERIA
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) iaitu syarikat minyak dan gas milik Kerajaan Sarawak, kini berstatus syarikat berbilion ringgit hanya dalam tempoh lima tahun penubuhannya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tahun lalu, pendapatan PETROS mencecah RM1.2 bilion, sesuatu pencapaian yang amat ketara.
“Hari ini, saya dengan gembira menyatakan bahawa PETROS adalah antara syarikat bertaraf berbilion ringgit, dengan prestasi kewangan kukuh dan penarafan tinggi AA3 RAM (agensi penarafan Rating Services Bhd).
“Tahniah PETROS,” katanya berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-5 PETROS di Pusat Konvesnyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, menjadi aspirasi semua rakyat Sarawak untuk melihat dan menikmati hasil mahsul negeri ini dari segi mempertingkatkan taraf hidup mereka dan kualiti prasana serta kemudahan asas.
Ini katanya, sejajar dengan visi untuk menjadikan negeri ini sebuah ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Oleh itu, apabila saya mengambil alih tampuk kepemimpinan Kerajaan Sarawak pada 2017, PETROS adalah entiti pertama yang ditubuhkan untuk memenuhi aspirasi rakyat Sarawak agar rakyat dapat menikmati kekayaan sumber aslinya,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan PERRONAS lima tahun lalu amat bermakna untuk menerokai sumber minyak dan gas di negeri ini dan pada masa sama melindungi kepentingan sumber semula jadi Sarawak.
“Sarawak perlu mengeksplotasi sumbernya secara agresif tetapi secara bertanggungjawab kerana negeri ini perlu memperluaskan ekonominya dan mengikis tanggapan ‘kaya tapi negeri miskin’.
“Secara ringkasnya, sumber minyak dan gas kita belum dibangunkan dengan cara yang benar-benar memberi faedah kepada rakyatnya,” katanya.