Petros, Höegh Evi jalin kerjasama bangunkan terminal LNG Kuching

Facebook
WhatsApp
PETROLEUM Sarawak Bhd (Petros) dan Höegh Evi memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) bagi membangunkan Terminal LNG Kuching sebagai sebahagian daripada Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH), dengan projek itu menyasarkan bekalan gas pertama menjelang akhir 2029. Foto hiasan

KUCHING: Petroleum Sarawak Bhd (Petros) memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) dengan Höegh Evi, peneraju global dalam infrastruktur tenaga maritim, bagi membangunkan terminal gas asli cecair (LNG) Kuching sebagai sebahagian daripada Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH).

Dalam satu kenyataan hari ini, Petros memaklumkan terminal yang dicadangkan itu akan menjadi kemudahan regasifikasi LNG pertama Sarawak, yang membolehkan gas asli disalurkan terus ke Kuching dan kawasan sekitarnya bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat serta memperkukuh keselamatan tenaga negeri.

Menurutnya, dengan mewujudkan bekalan gas yang boleh dipercayai ke Kuching, terminal LNG itu akan menjadi pemangkin utama kepada KLCH, selain menyokong penjanaan kuasa dan meletakkan asas bagi pembangunan perindustrian yang lebih meluas.

Di bawah JDA itu, kedua-dua pihak akan bersama-sama membangunkan, memiliki dan mengendalikan terminal LNG Kuching, yang akan merangkumi unit penyimpanan dan regasifikasi terapung (FSRU), infrastruktur tambatan, saluran paip dasar laut dan darat serta kemudahan penerimaan darat.

“Kerjasama ini menggabungkan peranan Petros sebagai Pembangun Induk KLCH yang menerajui pembangunan ekosistem perindustrian rendah karbon bersepadu dengan pengalaman antarabangsa Höegh Evi dalam membangunkan dan mengendalikan FSRU serta infrastruktur tenaga maritim,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros Datuk Janin Girie berkata terminal LNG Kuching merupakan pelaburan strategik bagi memacu fasa seterusnya pembangunan ekonomi Sarawak.

“Dengan menyediakan infrastruktur penting yang diperlukan untuk membekalkan gas asli ke Kuching, terminal LNG itu akan membantu membangunkan ekosistem yang menarik pelaburan bernilai tinggi, membolehkan industri baharu diwujudkan serta merealisasikan potensi Kuching sebagai pusat pertumbuhan industri baharu,” katanya.

Projek itu menyasarkan bekalan gas pertama menjelang akhir 2029. Menurut Petros, kedua-dua pihak akan terus menilai peluang untuk mempercepatkan pelaksanaan projek itu selaras dengan peningkatan permintaan tenaga dan kesiapsiagaan projek.

Selain menyokong penjanaan kuasa, terminal LNG itu direka untuk menampung pelbagai perkhidmatan berpotensi, termasuk pengedaran LNG berskala kecil, pemuatan ke lori, pengisian bahan api LNG (bunkering), penyimpanan dan aktiviti pemuatan semula.

Menurutnya, komponen berkenaan akan membolehkan kemudahan itu membekalkan gas ke Kuching, selain memberikan fleksibiliti untuk memperluas bekalan gas ke bahagian lain di Sarawak bagi memenuhi keperluan tenaga negeri yang terus berkembang.- Bernama