
MARUDI: Pengurus Besar Kanan, Perhubungan Pihak Berkepentingan, Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan Petronas, Khairuddin M Jaafar berkata Program Petronas Memperkasakan Ilmu: Discover Petronas@School Baram merupakan sebahagian daripada inisiatif Petronas yang lebih besar di bawah agenda kelestarian organisasi selaras dengan matlamat pembangunan mampan iaitu memastikan akses pendidikan berkualiti yang saksama untuk semua.
Katanya sejak diperkenalkan pada tahun 2013, Discover Petronas@School telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 pelajar seluruh negara.
Menurut beliau di Sarawak sahaja, program ini telah dilaksanakan di Lawas, Miri, Gedong dan Kapit.
“Kami percaya bahawa pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan dan melalui kerjasama erat bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, kami berharap dapat menyokong aspirasi negeri untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan Sarawak secara mampan,” katanya.
Beliau berucap pada Program Petronas Memperkasakan Ilmu: Discover Petronas@School Baram dilangsungkan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan hari ini.
Tambahnya, Petronas merupakan salah satu entiti korporat yang telah banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan di semua peringkat melalui program impak sosial mereka.
Kali ini tegas beliau, Petronas sekali lagi telah berjaya untuk menganjurkan program pendidikan yang berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Program ini adalah sebahagian inisiatif Petronas untuk mempromosikan aktiviti berkaitan STEM di kalangan pelajar serta menyemarakkan lagi minat mereka untuk menceburi pekerjaan berkaitan industri minyak, gas dan tenaga,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 200 pelajar SMK Telang Usan dan SMK Marudi berpeluang menyertai program ini di mana mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif dan eksperimen mudah seperti membina kipas berkuasa solar dan litar kiub.
Tambahnya, program ini bukan sahaja mempekenalkan teknologi secara praktikal malah bertujuan menyemai minat pelajar terhadap bidang berkaitan minyak, gas dan tenaga.
“Kami juga amat berbangga kerana hari ini, kami dapat menampilkan seorang anak jati Baram, Joshua Ling Zhong Yie yang merupakan alumni Petronas yang kini bertugas sebagai Pengurus di Petronas Carigali Sdn Bhd, Sarawak Asset Miri,” katanya.
Tegasnya, Joshua telah membuktikan bahawa pendidikan mampu mengubah masa depan sesebuah keluarga dan pihak Petronas berharap kisah beliau akan mencetus inspirasi kepada pelajar-pelajar di sini dan mengejar impian mereka.
Oleh Jiku Jukuong