
KUALA LUMPUR: Petronas tidak merancang untuk mengurangkan pengeluaran minyak dan gas (O&G) di Sabah walaupun O&G sedunia menghadapi cabaran penurunan harga yang mendadak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata langkah ini mengambil kira keperluan jangka panjang untuk memastikan keselamatan dan kesinambungan bekalan tenaga negara, mengekalkan kestabilan industri serta menjana pendapatan untuk negara dan negeri pengeluar.
Menurutnya Kerajaan Persekutuan bersama Petronas sentiasa memantau perkembangan harga minyak dunia dengan teliti, termasuk kesan turun naik harga terhadap industri O&G tempatan.
“Pengurusan pengeluaran O&G termasuk di Sabah dilaksanakan berasaskan pertimbangan menyeluruh yang merangkumi aspek teknikal, komersial dan perancangan jangka panjang.
“Ini bukan hanya ditentukan oleh perubahan harga jangka pendek semata-mata,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan (GRS-Keningau) sama ada kerajaan dan Petronas merancang untuk mengurangkan pengeluaran O&G di Sabah dan memulihara sumber itu berikutan penurunan mendadak harga minyak dunia.
-Bernama