KUALA LUMPUR: Petronas Suriname E&P BV, anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), hari ini mengumumkan penemuan minyak di telaga cari gali Roystonea di Blok 52, Suriname.
Dalam kenyataannya, syarikat minyak dan gas negara itu berkata, telaga yang terletak kira-kira 185 kilometer di luar pesisir dan pada kedalaman 904 meter, telah digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 5,315 meter.
Selain itu, ia turut menemui beberapa takungan batu pasir Campanian yang mengandungi minyak.
Pada masa sama, kajian lebih teliti perlu dijalankan bagi menentukan sepenuhnya penemuan ini serta potensi sinergi pembangunannya dengan penemuan Sloanea-1 pada 2020 dalam blok sama, katanya.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata kumpulan itu menyifatkan penemuan minyak Roystonea-1 sebagai satu perkembangan positif dalam merealisiasikan strategi berbeza bagi usaha sama huluan huluan antarabangsa menerusi tumpuan terhadap penemuan penting dengan bahan cemar yang minimum.
Sementara itu, Naib Presiden Eksplorasi Petronas Mohd Redhani Abdul Rahman berkata kejayaan Roystonea-1 dijangka memacu usaha cari gali dengan lebih lanjut bagi mendapatkan sumber hidrokarbon yang berdaya maju secara komersial di kawasan sekitar.
“Petronas akan terus bekerjasama erat dengan pihak berkuasa terbabit, Staatsolie dan rakan niaga bagi memanfaatkan potensi hidrokarbon Suriname. Kami juga berharap dapat melaksanakan program-program cari gali yang selamat dan berjaya secara bersama,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas selanjutnya, Petronas berkata Blok 52 yang merangkumi kawasan berkeluasan 4,749 kilometer persegi, terletak di utara pantai Paramaribo, ibu kota Suriname dan dalam lembangan Suriname-Guyana.
Petronas Suriname E&P adalah pengendali Blok 52 dengan kepentingan penyertaan sebanyak 50 peratus.
Selain Blok 52, Petronas Suriname E&P turut mengendalikan Blok 48 dengan kepentingan penyertaan penuh.
“Ia juga merupakan rakan kongsi dengan 30 peratus kepentingan penyertaan tanpa operasi di Blok 53 yang menyaksikan penemuan minyak Baja-1 pada 2022,” kata Petronas.
Penemuan terbabit adalah rentetan daripada usaha berterusan Petronas dalam memastikan keterjaminan tenaga bagi memenuhi permintaan tenaga global yang kian meningkat, katanya. – Bernama